JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Thailand ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana dipercayai mengutip derma menggunakan alasan pembinaan sebuah sekolah tahfiz di selatan negara tersebut tanpa permit.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di pasar malam Flat Sri Stulang di sini pada pukul 6.30 petang, kelmarin.
Penguat kuasa merampas tabung derma dan mendapati terdapat wang tunai berjumlah RM167 dipercayai hasil sumbangan orang ramai.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang permit atau kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengutip derma. Semakan lanjut mendapati dia juga pernah ditahan di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru tahun lalu atas kesalahan sama,” kata JAINJ dalam kenyataan hari ini.
JAINJ berkata, lelaki berkenaan telah didakwa di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 106 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor yang memperuntukkan denda hingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Tertuduh telah mengaku bersalah dan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman denda RM2,400 atau tiga bulan penjara bagi kes pertama iaitu kesalahan yang dilakukan pada 30 Januari 2024 di tapak pasar malam Taman Tampoi Utama bersama wang derma RM479.
“Manakala bagi kesalahan kedua, hakim menjatuhkan hukuman denda RM2,700 atau empat bulan penjara dan 14 hari penjara bagi kesalahan di tapak pasar malam Flat Sri Stulang bersama wang RM167, kelmarin.
“Tertuduh gagal membayar denda bernilai keseluruhan RM5,100 itu dan akan menjalani hukuman penjara tujuh bulan 14 hari di Penjara Kluang,” katanya.










