SEREMBAN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 32 tahun di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun pada 2022.
Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh membuat keputusan itu selepas tertuduh, seorang peniaga, Khalid Redza Shuib, 44, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian tanpa niat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula pada tarikh tangkap pada 22 Mac 2022.
Peguam, Nur Haifa Husna Zuhaimi berkata, hakim telah menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun terhadap tertuduh kerana menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5, dan penjara 15 tahun atas kematian Merriamah Abdullah Basam, 29.
Nur Haifa bertindak sebagai peguam pemerhati kepada keluarga Hanan.
Khalid Redza dan anak perempuannya yang berusia 18 tahun ketika kejadian didakwa secara bersama telah menyebabkan kematian Hanan lebih kurang pukul 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di sini pada 3 Mac 2022.
Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan anak perempuannya daripada pertuduhan membunuh kanak-kanak berusia lima tahun itu.
Khalid turut didakwa membunuh Meriammah antara 15 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama yang mana mayatnya ditemui dalam gaung di Jalan Bukit Putus pada 20 Mac 2022.
Pada mulanya, tertuduh berdepan pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagaimanapun pihak pendakwaan kemudian meminda kepada pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Menurut Nur Haifa, sebelum hakim menjatuhkan hukuman mahkamah telah mendengar kenyataan impak dari ahli keluarga kedua-dua mangsa.
Beliau berkata, suasana sedih ketika prosiding ketika ibu mangsa, Siti Syarifah Aibiddin, 35, membacakan kenyataan impak untuk anaknya, Hanan.
“Hampir semua orang menangis ketika ahli keluarga membaca kenyataan mereka,” katanya sambil menambah tertuduh diperintahkan menjalani hukumannya berturut-turut.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi manakala pihak pembelaan yang diwakili Raftfizi Zainal Abidin.
Sebelum ini, media melaporkan tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud pada 7 April 2022.
Ketua Polis Daerah Seremban ketika itu, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tulang berkenaan ditemui pada pukul 11 pagi selepas suspek lelaki kes penemuan mayat seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama pada 20 Mac lalu dan seorang saksi perempuan telah dibawa menunjukkan lokasi terbabit. – UTUSAN











