PETALING JAYA: Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) meninggal dipercayai mengalami serangan jantung ketika berbasikal bersendirian di hadapan stesen minyak Caltex Batu 30, Jalan Kuala Lumpur–Ipoh, Kuala Kubu Bahru dekat sini semalam.
Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 11.15 pagi berhubung penemuan seorang lelaki yang didapati tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 39 tahun sedang melakukan aktiviti berbasikal secara bersendirian.
“Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan luaran, pergaduhan atau unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mayat individu berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh serangan jantung. Kes ini diklasifikasikan laporan mati mengejut (Sudden Death Report),” jelasnya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Khadijah di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.