PETALING JAYA: Sikap culas lelaki dalam bayaran nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak menunjukkan kurangnya kematangan emosi serta kefahaman agama dalam diri mereka.
Pakar psikologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Ahsani A. Malek berkata, masih ramai lelaki melihat nafkah sebagai beban atau cara membalas dendam selepas perceraian.
“Apabila lelaki gagal menunaikan nafkah yang telah diperintahkan mahkamah, perkara itu menunjukkan bahawa lelaki itu tidak mempunyai kefahaman agama dalam diri mereka menjadikan mereka bertindak untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap bekas isteri dan anak-anak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sikap culas lelaki melunaskan tuntutan nafkah dengan memberi pelbagai alasan bukan sahaja meretakkan rumah tangga malah menjadi punca kepada peningkatan jumlah tunggakan bayaran nafkah sebanyak RM10.5 juta yang direkodkan di seluruh negara setakat ini.
Mohd. Ahsani berkata, pelaksanaan langkah menyita simpanan bank bekas suami yang ingkar wajar dilaksanakan kerana ia memberi mesej jelas bahawa culas terhadap nafkah merupakan kesalahan serius dan tidak boleh dipandang ringan.
Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa bimbingan psikososial bagi membentuk kesedaran dalaman agar perubahan datang dari hati, bukan sekadar kerana paksaan.
“Tindakan menyita aset adalah langkah mendidik, tetapi yang lebih penting adalah membina kesedaran bahawa nafkah bukan satu bebanan, sebaliknya amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT,” katanya.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, dalam Islam, pemerintah mempunyai kuasa untuk memaksa seseorang menunaikan kewajipan apabila dia sengaja enggan berbuat demikian.
Katanya, keluarga baharu perlu memahami bahawa langkah yang dibuat tersebut adalah untuk menunaikan hak yang tertunggak.
“Bagaimanapun, pelaksanaan mesti dibuat secara berhikmah dan bertimbang rasa, supaya tidak menjejaskan keperluan keluarga semasa,” katanya.
Beliau berkata, masalah culas nafkah tidak akan selesai dengan tindakan undang-undang semata-mata.
Tambahnya, kesedaran itu memerlukan pendidikan berterusan dan pembinaan jiwa lelaki Muslim yang memahami amanah sebagai seorang suami dan bapa. – UTUSAN









