KOTA BHARU: Lapan individu termasuk seorang wanita yang ditahan selepas dipercayai terlibat kes mengurung dan menculik tiga lelaki di Cherang Ruku, Pasir Puteh, dekat sini minggu lalu disambung reman dua hari.
Perintah lanjutan reman bermula esok itu dibenarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20tahun hingga 46 tahun. Lanjutan reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, Seksyen 342 Kanun Keseksaan, Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan semua lapan suspek itu disambung reman bagi membantu siasatan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis menahan lapan individu selepas menculik dan mengurung tiga lelaki di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku, enam hari lalu.
Kesemua suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di enam lokasi sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat pada pukul 11.30 malam. – UTUSAN










