Lagi permohonan reman usahawan hartanah ditolak mahkamah

Lagi permohonan reman usahawan hartanah ditolak mahkamah

USAHAWAN hartanah (kiri) dan adiknya dibawa keluar dari kamar mahkamah setelah permohonan reman terhadap mereka ditolak di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan perintah tahanan reman terhadap seorang usahawan hartanah dan adik lelakinya yang disyaki terlibat dalam kes penipuan urus niaga tanah.

Ini adalah kali kedua permohonan polis untuk menahan reman mereka ditolak selepas Mahkamah Majistret Dungun mengambil keputusan sama, semalam.

Majistret Nur Athirah Hashim memutuskan demikian selepas mendengar  permohonan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, usahawan hartanah itu berusia 38 tahun dan adiknya berumur 31 tahun dibawa untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan hartanah di daerah Hulu Terengganu bernilai RM26,000 pada 2023.

Peguam, Ahmad Adha Amir Yasser yang mewakili mereka berkata, anak guamnya ditahan semula selepas permohonan reman dibuat polis di Mahkamah Majistret Dungun ditolak sebelum dibawa ke lbu pejabat Polis Daerah (IPD)  Hulu Terengganu, dekat sini.

“Sama seperti di Mahkamah Majistret Dungun, alasan penolakan tersebut disebabkan anak guam saya pernah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan sebelum ini.

“Saya berhujah elemen siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ini dilihat tidak lengkap kerana wujud perjanjian jual beli dan tanah itu wujud,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini.

Ahmad Adha berkata, kedua-dua anak guamnya juga berjanji memberi kerjasama baik kepada polis dan bersedia dipanggil di mana-mana ibu pejabat polis bagi membantu siasatan.

Semalam, Mahkamah Majistret Dungun dilaporkan  menolak permohonan reman terhadap usahawan hartanah tersebut dan adik lelakinya.

Terdahulu,  adik-beradik tersebut ditahan selepas mereka dihadapkan bagi pertuduhan khianat di Mahkamah Sesyen Besut pada Isnin lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×