PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesa agar mana-mana pihak tidak mencetuskan provokasi terhadap dirinya dan menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat segala tuduhan dikemukakan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, pendiriannya itu dibuat atas dasar menghormati proses dalaman serta demi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan kepimpinan parti.
“Saya cuba elak untuk jawab benda-benda yang bersifat dalaman. Kita bukan macam beberapa orang lain yang mana isu dalaman pun ditaburkan merata tempat sehingga satu Malaysia tahu.
“Sikap kita ialah nak menjaga parti, kita sayangkan parti. Kita tahu siapa yang pergi berbincang dengan sebelah sana. Jadi kita tak dedahkan setakat ni. Tapi janganlah ‘tolak’ kuat sangat, takut nanti ada reaksi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bersama empat lagi Ketua Bahagian Bersatu selepas prosiding bersama Lembaga Disiplin di Ibu Pejabat parti itu, hari ini.
Antara yang dipanggil termasuk Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Pengerang, Mohd. Faizal Asmar dan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.
Sebelum ini, timbul beberapa dakwaan mengatakan wujud penglibatan pihak luar terhadap pergolakan yang berlaku antara pimpinan parti tersebut.
Tambah Wan Saiful, notis prosiding yang diterima daripada Lembaga Disiplin itu berkaitan isu akuan bersumpah (SD) serta kritikan terhadap Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mengulas tentang kenyataan melibatkan Mohamed Azmin, beliau berkata, teguran terhadap seseorang individu tidak sepatutnya dianggap sebagai tindakan mengkritik parti secara keseluruhan.
“Saya nak bezakan sikap kita dengan sikap puak-puak lain yang menggunakan media sosial, menggunakan Black Ops untuk menyebarkan pandangan mereka dan tuduhan-tuduhan mereka. Jadi kita berbeza, kita nak ikut proses dalam parti.
“Dia seolah-olah kami ini bukan parti. Orang lain kritik kita boleh, tapi kita kritik seorang ‘anak emas’ ini tak boleh. Jadi tak apalah kita tengoklah proses keadilan macam mana,” katanya. – UTUSAN










