Kesilapan mudah, komunikasi lemah jejaskan TFC

Kesilapan mudah, komunikasi lemah jejaskan TFC

PEMAIN Terengganu FC (TFC), Mohamad Baqiuddin Shamsudin (kanan) diasak pemain Kuching City FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu malam tadi. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kesilapan mudah dan komunikasi yang lemah antara pemain menjadi punca utama Terengganu FC (TFC) rebah 1-4 di tangan Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sinu malam tadi.

Ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali mengakui anak buahnya gagal mengekalkan fokus sepanjang 90 minit meskipun turun dengan semangat tinggi untuk memburu kemenangan di laman sendiri.

“Saya boleh katakan ini bukan hari kita. Pemain memang bersemangat dan mahu menang tapi terlalu eager sehingga hilang fokus. Banyak kesilapan mudah berlaku yang memudahkan pihak lawan menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.

Badrul berkata, dua jaringan awal pelawat dalam tempoh 10 minit pertama memerangkap TFC yang masih mencari rentak sebelum kesilapan individu terus menghukum mereka.

“Kita cipta peluang tapi gagal menjaringkan gol. Sebaliknya, bila kita leka di belakang, Kuching ambil kesempatan untuk menambah jaringan,” ujarnya.

Namun, katanya, kekalahan itu tidak mencerminkan kekuatan sebenar skuad Penyu yang masih memiliki baki 90 minit untuk menebus kekecewaan dalam aksi timbal balik di Kuching.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad The Cats, Aidil Shahrin Sahak berkata, ‘kerja rumah’ yang dilakukan pasukannya akhirnya membuahkan hasil selepas mereka  membawa pulang kemenangan selesa dari Gong Badak.

Aidil memuji disiplin tinggi para pemain yang berjaya mengekang corak agresif TFC serta memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh.

“Kami buat kerja rumah untuk hentikan ancaman utama Terengganu, terutama larian Nurillo (Tukhtasinov) dan pergerakan Gabi (da Silva). Alhamdulillah, semua itu menjadi,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu bukan hanya hasil ketajaman jentera serangan tetapi kerana komitmen seluruh pasukan menutup ruang serta menyekat kebangkitan tuan rumah.

“Apa pun keputusan malam ini, ia baru separuh jalan. Kita masih perlu kekal fokus dan bermain bola sepak seperti biasa di tempat sendiri. Kami tidak hanya duduk bertahan teapi akan terus bermain supaya penyokong dapat menikmati bola sepak yang mereka inginkan,” katanya.

Aksi timbal balik di Stadium Negeri Sarawak pada 28 Oktober ini bakal menjadi penentu dengan TFC perlu menang besar bagi mencerahkan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN