Kes tikam pelajar tiada unsur perkauman - MB Selangor

Kes tikam pelajar tiada unsur perkauman – MB Selangor

AMIRUDIN Shari ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Shah Alam Urban di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam semalam. -UTUSAN/AFIQ RAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kes seorang pelajar peremuan yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tidak melibatkan sebarang unsur perkauman. 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis negeri, Datuk Shazeli Kahar yang mengesahkan sedang menyiasat kes itu dan tiada unsur berkenaan.

“Sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan, saya tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui ibu bapa mangsa.

“Saya mengucapkan takziah kepada mereka dan diberikan kekuatan dan perlindungan dalam menghadapi tragedi ngeri ini,” katanya hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kejadian tikam itu berlaku ketika mangsa berada di luar kelas.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pelajar tingkatan empat itu maut di lokasi selepas kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Tangkapan telah dibuat terhadap seorang suspek berusia 14 tahun dan motif kejadian ini masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, kata Amirudin, polis akan terus menyiasat elemen jenayah kes itu dan memaklumkan perkembangannya kepada orang ramai. 

“Institusi sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita. Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan polis, Kementerian Pendidikan (KPM) dan komuniti setempat supaya tahap keselamatan di semua sekolah segera dipertingkatkan,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara itu akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan beberapa langkah termasuk sokongan kesihatan mental pelajar akan diputuskan segera bagi menjamin keselamatan mereka. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN