Identiti kekal misteri demi menjaga privasi - K.O.I - Utusan Malaysia

Identiti kekal misteri demi menjaga privasi – K.O.I

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mempertaruhkan lagu, Tiwikarma di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), kumpulan rap, K.O.I (Konflik of Interest) tidak merancang untuk mendedahkan wajah mereka sebagai gimik persembahan pada malam berprestij itu nanti.

Menurut Esihoi atau Achoi, mereka nekad untuk tidak mendedahkan identiti dan selesa tampil bertopeng demi menjaga privasi masing-masing yang terikat dengan kerja hakiki.

“Kami belum terfikir lagi untuk tanggalkan topeng. Memang identiti itu akan kami kekalkan sebagai misteri sebab kami mahu menjaga sedikit privasi.

“Lagipun, sebenarnya atas tuntutan kerja sebab kami semua ada kerja hakiki masing-masing. Dan setakat ini belum ada lagi kumpulan rap di Malaysia yang bertopeng. Itu salah satu identiti kami.

“Malah, kami pun tidak menggunakan nama sebenar. Yang sekarang ini hanyalah nama pentas sahaja. Kami tidak mahu timbul isu apabila identiti sebenar diketahui,” katanya ketika ditemui di sidang media AJL40: The First Look di St Regis Hotel, di sini, pada Rabu.

Mengulas mengenai AJL40, kumpulan yang dianggotai Tuan Nikky, Himo, Esihoi, Raf dan Mya Na Na itu menganggap penglibatan di pentas gah itu juga sudah cukup bermakna buat mereka.

“Bagi kami, kami dah rasa berjaya sebab kami masih baharu. Dapat masuk ke pentas AJL pun dah cukup besar maknanya.

“Tapi kalau cakap soal harapan untuk menang, siapa yang masuk AJL mestilah ada harapan. Semua orang yang bertanding pasti mengharapkan sesuatu, sama ada tempat atau anugerah pada malam itu.

“Cuma harapan kami tidaklah terlalu besar. Kalau menang itu bonus. Kalau tak menang pun kami tetap rasa kami dah menang sebab berjaya sampai ke AJL,” kata Tuan Nikky.

Selain K.O.I, Marsha Milan, Aina Abdul, Dayang Nurfaizah, Amir Masdi, Aisha Retno, Hazama, Wani Kayrie, Ryenald Guntabid dan Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik juga bakal bertanding di AJL40 yang bakal berlangsung pada 15 Ogos 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN