Kebakaran tapak pelupusan sampah berjaya dipadam

Kebakaran tapak pelupusan sampah berjaya dipadam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah Jatiwaringin di daerah Tangerang, barat Jakarta berjaya dipadamkan selepas marak lebih seminggu.

Penduduk yang dipindahkan juga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, kata jurucakap agensi bencana pada Jumaat.

Tapak pelupusan tersebut mula terbakar pada 30 Jun, sekali gus mendorong kerajaan tempatan mengisytiharkan darurat selama dua minggu.

Lebih 230 penduduk dipindahkan dari kawasan itu, manakala 331 kes jangkitan saluran pernafasan akut dilaporkan tanpa sebarang kemasukan ke hospital, menurut agensi mitigasi bencana tempatan.

Kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas kira-kira 15 hektar di tapak pelupusan itu berjaya dipadam sepenuhnya pada petang Khamis, kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota bomba kini sedang menjalankan proses penyejukan secara intensif bagi memastikan api di kawasan berkenaan sudah benar-benar padam.

“Pasukan gabungan kekal berada dalam keadaan siap siaga bagi mempercepatkan proses pembasahan sepenuhnya di kawasan yang terbakar,” katanya sambil menambah semua penduduk yang dipindahkan telah kembali ke kediaman masing-masing.

Jerebu akibat kebakaran serta operasi semburan air menggunakan helikopter tidak menjejaskan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta yang terletak berhampiran.

Pegawai Kementerian Alam Sekitar, Rizal Irawan minggu lalu berkata, pihak berkuasa akan menyiasat punca kebakaran itu, menurut media tempatan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN