Kes rogol dalam sekolah: Tiada siapa akan dilindungi - Fadhlina - Utusan Malaysia

Kes rogol dalam sekolah: Tiada siapa akan dilindungi – Fadhlina

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diarah memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan berkaitan kes seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Melaka yang dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior dalam kelasnya sendiri.

Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes salah laku seksual di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kes salah laku seksual itu amat dikesali dan memerlukan tindakan tegas.

Katanya, tiada siapa yang akan dilindungi dan tindakan paling tegas akan diambil terhadap pesalah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar terus terjamin di semua sekolah di negara ini.

“Tindakan telah diambil oleh pihak polis dan semua suspek terlibat telah ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior dalam kelasnya sendiri, dan kejadian itu turut dirakam serta disaksikan dua pelajar lain.

Kejadian itu terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah berhubung penyebaran video tidak senonoh membabitkan anak sulungnya sebelum membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran sains yang tertinggal.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumkan bahawa perintah reman selama enam hari telah diperoleh terhadap kesemua suspek bermula hari ini hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN