Kerjaya lakonan bukan mainan - Badron Munirah - Utusan Malaysia

Kerjaya lakonan bukan mainan – Badron Munirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dari sekadar seorang pempengaruh yang hanya mencipta konten atau kandungan jenaka di media sosial, siapa sangka Badron Munirah berjaya terjun ke dalam industri lakonan tanah air.

Nekad berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2023, anak kelahiran Sarawak itu menganggap kerjaya seninya kini bukanlah gelanggang permainan buat dirinya sebaliknya sudah sedia untuk berdepan dengan segala cabaran yang mendatang.

“Saya tidak pernah menganggap penghijrahan ke Kuala Lumpur sekadar untuk bermain-main. Kerjaya lakonan bukan mainan buat saya. Hadirnya saya di sini untuk menjadi antara figura yang membanggakan Sarawak.

“Sebelum membuat keputusan untuk berhijrah ke sini, ramai yang menganggap kerjaya sebagai seorang content creator itu tidak mendatangkan manfaat.

“Namun, apabila sampai ke Kuala Lumpur, saya boleh kembangkan bakat yang saya ada ke dalam dunia lakonan.

“Walaupun saya belum bersedia untuk berdepan dengan kritikan masyarakat, saya tetap persiapkan diri untuk belajar menerima segala cabaran yang akan datang,” katanya kepada Pancaindera.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga apabila dirinya membuat keputusan untuk bergelar anak seni, pelakon yang mesra disapa sebagai Mun itu mengakui impiannya pernah ditentang oleh ibu bapanya.

Kata pelakon drama Putri dan Phrince itu, meskipun sukar untuk meyakinkan kedua-dua insan tercinta, dia berjanji tidak akan sesekali melakukan perkara yang memburukkan diri dan keluarga.

“Tipulah kalau saya kata penglibatan dalam dunia seni ini tidak mendapat tentangan keluarga. Orang tua saya juga merasakan bidang yang diceburi ini tidak mempunyai manfaatnya.

“Sebagai orang tua, sudah tentu mereka berharap saya bekerja di bawah syarikat kerajaan kerana saya anak bongsu.

“Tetapi minat saya berbeza berbanding adik-beradik lain. Alhamdulillah, lama kelamaan saya berjaya mendapatkan kepercayaan mereka sedikit demi sedikit,” kongsinya.

Dalam masa sama, pelakon yang dikatakan seiras penyanyi Indonesia, Afgan itu juga menafikan bahawa penglibatannya dalam industri kerana tuahnya memiliki rupa paras yang kacak.

“Sejujurnya, saya tidak kisah jika ada yang menganggap saya kacak atau tidak kerana pada saya itu bukanlah ukurannya.

“Penglibatan saya dalam dunia lakonan juga kerana mahu mencari sisi lain yang boleh membuatkan orang terima saya. Saya mahu orang terima bakat yang saya miliki.

“Jadi, jika ada pihak yang suka membandingkan rupa paras dengan bakat yang saya miliki, perkara itu tidak akan memberi kesan pada saya,” jelasnya.

Walaupun dirinya kini dilihat aktif mencipta nama sabagai seorang pelakon, Badron tidak pernah sesekali mengetepikan kerjaya hakikinya sebagai pempengaruh.

Katanya, dirinya akan terus aktif menghasilkan kandungan yang mencuit hati pengikutnya di media sosial biarpun perlu membahagikan masa sebaik mungkin dengan kerjaya lakonan.

“Saya akan tetap aktif menghasilkan konten yang mencuit hati bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain seperti Ryan Bakery, Wan Chai, Adam dan Farihin.

“Walaupun akan sibuk berlakon, kerjaya itu tidak akan saya ketepikan. Kalau ditanya mengenai pendapatan, apa yang saya boleh katakan menghasilkan konten jenaka di media sosial lebih berbaloi.

“Alhamdulillah, apabila digabungkan dengan kedua-dua kerjaya yang saya ada sekarang cukup untuk menyenangkan hidup sendiri dan keluarga,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN