Kerja korek pasir sungai dihentikan punca banjir - Utusan Malaysia

Kerja korek pasir sungai dihentikan punca banjir

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tengah) melihat sampah yang tersangkut di jambatan ketika meninjau kawasan yang dilanda banjir di Kampung Matang Gelugor di Bukit Gantang. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Banjir yang kerap berlaku di kawasan Matang Gelugor di sini didakwa berpunca daripada aktiviti mengorek pasir sungai berhampiran yang dihentikan sejak enam hingga tujuh tahun lalu, menyebabkan dasar sungai semakin cetek dan aliran air tersekat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, terbaru semalam berlaku banjir yang menjejaskan lebih 10 kampung di sekitar Matang melibatkan hampir 600 rumah.

Menurutnya, banjir menyebabkan 170 penduduk berpindah di empat  Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mahu tindakan segera diambil bagi mengelak banjir setiap kali hujan lebat.

“Kerja-kerja mengorek pasir sungai yang dihentikan menyebabkan paras air sungai naik mendadak, ditambah pula dengan longgokan sampah dan sisa yang menutupi dasar sungai serta parit.

“Sebelum aktiviti korek pasir dihentikan, sungai sentiasa dalam dan aliran air lancar. Penduduk selamat daripada banjir, peniaga dapat berniaga, kerajaan pun dapat hasi  tapi sekarang, semua terjejas,” katanya ketika meninjau kawasan yang dilanda banjir di Kampung Matang Gelugor di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar kerja penyelenggaraan sungai diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau penduduk tempatan bagi memastikan aliran air sentiasa lancar.

Katanya, laporan penuh daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dijangka diterima esok dan akan dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap agensi berkenaan.

“Kalau kita tunggu lagi, mangsanya orang kampung. Esok saya akan hantar jentera jengkaut untuk bersihkan saluran air supaya aliran kembali lancar, kKalau lambat tindakan, saya buat sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, penduduk, Hasbarani Tajul Haris, 52, berkata banjir kali ini antara yang terburuk apabila air naik mendadak selepas hujan lebat berterusan selama beberapa jam.

“Dahulu sungai dikorek sampai ke bawah, jadi air cepat surut tapi sejak kerja-kerja itu dihentikan, sungai semakin cetek dan air mula melimpah ke kawasan rumah,” katanya.

Bagi peniaga tempatan, Rohaya Osman, 60, banjir semalam menyebabkan kawasan perniagaannya ditenggelami air sedalam tiga kaki, memaksanya menutup kedai lebih awal.

“Dulu masa ada aktiviti korek pasir, sungai dalam dan air cepat surut tapi sejak kerja itu dihentikan, sungai tersumbat dan apabila hujan lebat mesti banjir,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN