GEORGE TOWN: Cuti akhir tahun yang bertembung dengan penganjuran Pesta Pulau Pinang menyebabkan beberapa lokasi tumpuan di Pulau Pinang dibanjiri oleh pengunjung sama ada dari dalam atau luar negeri.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, antara lokasi itu ialah Padang Kota Lama, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Bukit Bendera, Batu Ferringhi dan beberapa kawasan riadah seperti Air Terjun Teluk Bahang, Gurney Drive dan sebagainya.
Di Seberang Perai pula, Kampong Agung di Penaga menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin menghayati suasana perkampungan tradisional manakala yang sukakan suasana hutan dengan bunyi unggas, pelayaran menerusi Sungai Juru mampu menawarkan pengalaman itu.
Bagi Khairul Amri Abu Samah, 40, dia sekeluarga memilih untuk bercuti ke Pulau Pinang kerana teruja untuk melihat suasana malam di negeri ini.
“Kali terakhir saya dan keluarga datang ke Pulau Pinang ialah tiga tahun lalu. Masa itu suasana malam pun sudah meriah. Tapi, kali ini lebih meriah apabila naik jambatan pun anak-anak teruja tengok tiang jambatan bertukar warna. Memang seronok.
“Isteri pula ajak singgah ke Pesta Pulau Pinang kerana katanya ini kali terakhir pesta diadakan sebelum dihentikan buat sementara waktu untuk pembinaan LRT (transit aliran ringan),” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.
Siti Fatimah Abdul Wahab, 30, pula berkata, dia dan adik-beradik gemar berkunjung ke Pulau Pinang kerana pelbagai jenis makanan.
“Orang cakap kalau pergi Pulau Pinang mesti nak makan nasi kandar. Tapi, bagi saya, Pulau Pinang adalah syurga makanan terutamanya di bahagian seberang (Seberang Perai). Nak sebut pun banyak sangat.
“Trip ke sini (Pulau Pinang) pun sebenarnya dirancang secara kebetulan. Kalau nak diikutkan memang hotel dah penuh. Nasib baik kawan saya tolong carikan,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Datuk Tony Goh berkata, kadar tempahan bilik pada hujung minggu mencatatkan prestasi memberangsangkan mencecah antara 70 hingga 90 peratus.
Menurutnya, bagi hari biasa, kadar penginapan hotel berada sekitar 70 peratus dan pertambahan hotel baharu menyebabkan tempahan pada hari bekerja agak perlahan. – UTUSAN










