MAHARASHTRA: Pengambilan hanya satu minuman beralkohol sehari bolehmeningkatkan risiko kanser mulut sehingga 50 peratus, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Global Health.
Dapatan itu sekali gus mencabar tanggapan pengambilan alkohol dalam kuantiti kecil adalah selamat untuk kesihatan.
Kajian berkenaan mendapati pengambilan sekitar sembilan gram alkohol sehari, bersamaan satu unit minuman standard, sudah mencukupi meningkatkan risiko menghidap kanser mukosa bukal atau kanser bahagian dalam mulut yang berpotensi membawa maut.
Penyelidikan itu diketuai Dr. Sharayu Mhatre dari Pusat Epidemiologi Kanser, Maharashtra, India, melibatkan perbandingan 1,803 pesakit kanser mulut dengan 1,903 individu sihat sebagai kumpulan kawalan yang dikumpulkan dari lima pusat kajian antara tahun 2010 hingga 2021.
Hasil kajian menunjukkan mereka yang mengambil alkohol mempunyai risiko 68 peratus lebih tinggi berbanding individu yang tidak minum alkohol, manakala pengguna minuman buatan tempatan mencatatkan risiko paling tinggi iaitu sehingga 87 peratus.
Kajian tersebut turut meneliti tabiat penggunaan tembakau kunyah dan mendapati gabungan pengambilan alkohol serta tembakau kunyah meningkatkan risiko kanser mulut lebih empat kali ganda dengan alkohol dikenal pasti sebagai faktor penyumbang utama.
Menurut penyelidik, etanol dalam alkohol dipercayai boleh menipiskan lapisan dalam mulut, sekali gus memudahkan penyerapan bahan karsinogen daripada tembakau atau faktor lain yang merosakkan sel.
Kajian itu menegaskan tiada tahap pengambilan alkohol yang benar-benar selamat berkaitan risiko kanser mulut, selari dengan trend peningkatan kes kanser kepala dan leher yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan golongan usia muda dan pertengahan.










