SEREMBAN : Sebuah kereta BMW musnah dalam kebakaran yang turut merebak ke kawasan lereng bukit berhampiran Jalan Kayu Ara menghala ke Sendayan, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, PBK I (KUP) Harzizi Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta BMW yang telah musnah kira-kira 80 peratus. Api turut merebak ke kawasan lalang di lereng bukit berhampiran dengan keluasan terbakar dianggarkan 20×20 kaki persegi,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.05 malam, sebelum operasi ditamatkan setengah jam kemudian.
“Operasi pemadaman melibatkan seramai 12 anggota termasuk seorang pegawai kanan. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan awal pagi tadi, sebuah Proton X70 musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kilometer 252.4 Lebuhraya PLUS arah utara.
Kebakaran yang dilaporkan pada pukul 5.04 pagi itu berjaya dikawal oleh anggota BBP Rembau dalam tempoh enam minit dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.










