PUTRAJAYA: Pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan Malaysia-Thailand diteruskan bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$30 bilion menjelang 2027.
Ia antara persetujuan dicapai antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya, Anutin Charnvirakul semalam, sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Thailand itu.
Kedua-dua negara turut bersetuju memudahkan urusan imigresen dan kastam termasuk menyelesaikan isu tertunggak.
Perdana Menteri berkata, masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi memperkukuh kerjasama dalam semua bidang termasuk ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Anwar berkata, sempadan diperkukuh dengan pembangunan laluan baharu antara Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao yang dirasmikan hari ini.
“Lawatan ini juga unik kerana bukan sekadar tertumpu di ibu negara, sebaliknya turut melibatkan kawasan sempadan. Ini mencerminkan komitmen Anutin untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Kompleks Perdana Putra di sini semalam.
Anwar berkata, mereka turut bercadang mempercepat pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok yang amat penting kepada pembangunan selatan Thailand dan Kelantan.
Katanya, Malaysia dan Thailand turut membincangkan cadangan menghidupkan semula projek landasan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok.
Menyentuh perdagangan dua hala, Perdana Menteri berkata, sasaran perdagangan bernilai AS$30 bilion memerlukan komitmen berterusan kedua-dua pihak.
“Kita perlu bekerja keras dan saya fikir kedua-dua Menteri Luar serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri perlu memberi tumpuan kepada perkara ini kerana persahabatan yang kukuh dan kerjasama dalam semua bidang, termasuk pelancongan, mesti bermula dengan asas ekonomi dan perdagangan yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, Anutin berkata, beliau dan Anwar turut membincangkan usaha mempertingkatkan kesalinghubungan pelbagai mod pengangkutan di koridor barat dan timur Semenanjung, sebagai sebahagian visi memperkukuh integrasi serantau dan meningkatkan daya tahan ekonomi jangka panjang.
Katanya, Thailand meletakkan usaha menamatkan keganasan dan menangani cabaran di wilayah sempadan selatan negaranya sebagai keutamaan.
Ujarnya, Malaysia dan Thailand berkongsi keyakinan bahawa keamanan dan pembangunan perlu bergerak seiring kerana keamanan mewujudkan keadaan kondusif untuk pembangunan manakala pembangunan pula membantu membina keamanan berkekalan.
“Kedua-dua negara akan terus memperkukuh kerjasama yang rapat dan berterusan bagi memajukan aspek keselamatan serta pembangunan di kawasan sempadan.
“Kami juga bersetuju meningkatkan penyelarasan bagi memperkukuh kesalinghubungan antara selatan Thailand dan utara Malaysia,” katanya. – UTUSAN










