SHAH ALAM: Remaja perempuan yang menikam rakan sekelasnya di sebuah sekolah menengah di Banting dekat sini, Isnin lalu mengaku berbuat demikian kerana berdendam menjadi mangsa buli, termasuk mangsa ditikamnya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dakwaan tersebut dinyatakan suspek berusia 15 tahun itu berdasarkan siasatan awal sepanjang reman.
Katanya, bagaimanapun dapatan polis menerusi keterangan diambil termasuk daripada 10 pelajar dalam senarai yang tular mendapati, ia tidak menjurus kepada kejadian buli.
“Alasan diberikan (oleh suspek dalam soal siasat) adalah berkaitan dengan rasa tidak puas hati ataupun memendam perasaan suspek terhadap beberapa individu di sekolahnya.
“Namun, keterangan diperoleh tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli tersebut. Namun, saya meminta berikan ruang kepada pegawai penyiasat membuat siasatan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Katanya, antara faktor dikenal pasti menjurus kepada kejadian tersebut termasuklah depresi dialami oleh suspek serta insiden terjun bangunan seperti dilakukannya sebelum ini.
“Namun perkara itu sedang disiasat termasuk semakan bersama pakar-pakar kaunseling yang suspek pernah jumpa.
“Ya (terjun bangunan), itu saya tidak nafikan yang mana pada penghujung tahun lalu, terdapat laporan polis mengatakan suspek terjun dari bangunan di sekolah tersebut,” katanya.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis menahan seorang remaja perempuan tingkatan tiga selepas didakwa menikam rakan sekelasnya di sekolah dalam kejadian antara pukul 9.30 hingga 10 pagi.
Remaja yang menghidap autisme itu kemudian dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga hari ini oleh Mahkamah Majistret di Telok Datuk bagi membantu siasatan.
Shazeli berkata, suspek turut mendakwa membeli pisau yang digunakan dalam insiden tersebut secara dalam talian dan menyimpannya di dalam beg galas untuk dibawa ke sekolah pada hari kejadian.
“Suspek tiba di sekolah melalui pintu depan dengan menaiki e-hailing. Dia mengambil peluang masuk ketika pintu pagar (utama) terbuka untuk terus masuk ke dalam kawasan sekolah. Namun, mungkin ketika itu berlaku pergerakan keluar masuk (kenderaan dan individu lain) melalui pintu tersebut.
“Bagaimanapun, siasatan juga mendapati suspek sudah lapan bulan tidak bersekolah tetapi belajar di rumah, home schooling kerana pada waktu tersebut dia menghadapi masalah kesihatan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan rakan suspek yang ditikamnya itu berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di hospital dan sedang dalam tempoh pemulihan. – UTUSAN










