Kerajaan timbang lesenkan permainan dalam talian 

Kerajaan timbang lesenkan permainan dalam talian 

FAHMI Fadzil hadir sempena Majlis Pelancaran Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Kerajaan belum membuat keputusan untuk melesenkan permainan dalam talian seperti Roblox, namun tidak menolak kemungkinan berbuat demikian jika kandungannya didapati memberi kesan negatif kepada kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang meneliti keperluan pelesenan berkenaan selain memantau beberapa permainan lain yang disifatkan tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah usia 16 tahun.

“Kita belum lagi berhasrat untuk melesenkan permainan Roblox tapi kita sedang membuat pemantauan sama ada perlu dilesenkan ataupun tidak. Bukan hanya Roblox, tapi banyak permainan lain dan ada dalam 10 jenis permainan lain yang  mungkin tidak sesuai untuk kanak- kanak bawah usia 16 tahun.

“Jadi, kita sedang memantau dan meneliti apakah mekanisme kerangka kawal selia yang terbaik. Berikan saya sedikit masa sebelum kita buat pengumuman. Tapi kita tidak boleh berdiam diri, tidak boleh berpeluk tubuh cuma mekanismenya sedang di teliti,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah di sini hari ini. 

Fahmi berkata, kerajaan mengambil serius isu keselamatan kanak-kanak di ruang siber selepas insiden membabitkan seorang kanak-kanak sembilan tahun yang mencederakan adiknya berusia enam tahun dipercayai terpengaruh dengan permainan Roblox.

“Permainan Roblox ada pelbagai modul termasuk yang ganas seperti memukul, menikam dan membunuh. Untuk kanak-kanak bawah umur, ia tidak sesuai. Itu sebab saya sendiri telah mengharamkan anak saya daripada bermain Roblox. Saya telah padam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah,” katanya.

Beliau berkata, Akta Keselamatan Dalam Talian (UNSA) atau dikenali sebagai Online Safety Act (ONSA) akan mula berkuat kuasa awal tahun depan, yang antara lain mewajibkan penyedia platform dalam talian memastikan ekosistem lebih selamat untuk kanak-kanak serta keluarga.

“Kelemahan sistem verifikasi umur dan identiti pengguna menjadi antara cabaran utama kerajaan dalam melindungi golongan bawah umur daripada terdedah kepada kandungan berbahaya termasuk aplikasi sosial Omi. 

“Kita sedang meneliti penggunaan MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai mekanisme pengesahan identiti. Minggu depan MCMC akan ke Singapura untuk berbincang dengan syarikat media sosial mengenai proses ‘Electronic Know Your Customer (e-KYC)’,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan aktif memantau aktiviti anak-anak di internet, bukan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada peranti.

“Peranti bukan pengganti ibu bapa, bukan pengasuh. Ibu bapa perlu tahu apa yang anak mereka main, siapa yang mereka berinteraksi. Internet perlu selamat, dan kita semua ada peranan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN