Kerajaan sedia hadapi tengkujuh

Kerajaan sedia hadapi tengkujuh

Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan perasmian SME Venture@ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tahap ke­siapsiagaan menghadapi monsun timur laut perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui penyelarasan dan koordinasi rapi antara semua agensi di peringkat negeri dan Persekutuan bagi memastikan langkah persediaan lebih tersusun serta berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan semua pihak terlibat berada dalam keadaan siap siaga khususnya banjir yang dijangka berlaku di beberapa kawasan berisiko tinggi.

Katanya, penyelarasan koordinasi itu sekali gus dapat me­ngurangkan risiko kehilangan nyawa, kerosakan dokumen penting serta harta benda.

“Laporan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan impak monsun tahun ini lebih sederhana, tetapi kita tetap perlu bersedia sepenuhnya.

“Kesiapsiagaan mesti dilaksanakan secara menyeluruh melalui koordinasi antara semua agensi supaya tindakan dapat diambil segera apabila berlaku bencana,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian SME Venture @ ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pe­ngurusan Bencana Pusat berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana bukan sekadar tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama erat masyarakat setempat dan pihak berkuasa di semua peringkat.

Katanya, beliau sendiri turun padang ke Temerloh, Pahang, Isnin lalu bagi meninjau persediaan menghadapi monsun timur laut termasuk memastikan pusat pemindahan sementara (PPS), aset logistik serta keperluan asas berada dalam keadaan bersedia.

“Pengalaman lalu membuktikan bencana seperti banjir besar boleh berlaku tanpa amaran panjang dan oleh itu sistem amaran awal perlu diperkukuhkan.

“Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kini turut memperkukuh sistem amaran awal supaya pemindahan penduduk dapat dilakukan lebih awal sebelum air naik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 bagi menangani isu banjir termasuk RM460 juta yang disalurkan terus melalui Nadma untuk pelaksanaan langkah kesiapsiagaan dan pengurusan bencana.

Sementara itu, Jabatan Bom­ba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan kesiap­siagaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) de­ngan memberi tumpuan kepada 4,138 lokasi kerap banjir serta berisiko kepala air dan tanah runtuh yang dikenal pasti di seluruh negara tahun ini.

Jumlah itu membabitkan 3,683 kawasan banjir, 254 cerun kritikal dan 201 lokasi kepala air yang be­risiko berlaku ketika MTL.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 3,683 lokasi banjir dikenal pasti tahun ini dan jumlah itu berkurangan berbanding tahun lalu iaitu 4,619 lokasi.

Menurut beliau, Pahang merekodkan kawasan ‘hotspot’ tertinggi dengan 760 lokasi diikuti Kelantan (618); Sabah (517), Terengganu (460) dan Johor (343).

“Selain itu, sebanyak 280 lokasi banjir dikenal pasti di Perak, Sarawak (164), Negeri Sembilan (123), Kedah (119) dan Melaka (106) dan Selangor (64).

“Sebanyak 53 lokasi berisiko banjir turut dikenal pasti di Pulau Pinang, Kuala Lumpur (38), Perlis (20), Labuan (15) dan Putrajaya (3),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, menurut Nor Hisham, bagi lokasi cerun kritikal, lokasi paling banyak dikenal pasti adalah 36 lokasi di Sabah diikuti Terengganu, Pahang, Perak dan Johor masing-masing 25 ‘hotspot’.

“Sebanyak 20 lokasi cerun berisiko tanah runtuh di Perak manakala Negeri Sembilan (19), Pulau Pinang (14), Sarawak (21), Kedah (7), Perlis (4) dan Putrajaya (2).

“Selain itu, kita mengenal pasti sebanyak 52 lokasi kepala air di Sabah, Kedah (39), Sarawak (19), Kelantan dan Terengganu (18), Perak dan Negeri Sembilan (17), Selangor (6), Johor dan Perlis (5), Pahang (3) dan Kuala Lumpur dan Melaka (1),” katanya.

Nor Hisham berkata, fokus utama akan diberikan kepada negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak kerana sejarah serta pola taburan hujan yang tinggi semasa MTL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN