PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan semula kadar subsidi petrol sebanyak RM1.99 seliter yang diberikan kepada pengusaha teksi melalui Skim Kawalan Petrol Subsidi (SKPS).
Presiden Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, walaupun kerajaan memperuntukkan subsidi 800 liter sebulan kepada komuniti teksi, kadar itu masih dianggap terlalu tinggi.
“Subsidi yang diberikan kerajaan kami hargai, tetapi kadar RM1.99 seliter ini masih membebankan berbanding dengan harga jualan bahan bakar NGV sebelum ia ditamatkan,” katanya menerusi kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan sedang meneliti beberapa isu melibatkan bot nelayan dan pengusaha bot enjin sangkut yang digunakan dalam pengangkutan air di Sabah, Sarawak serta beberapa kawasan di Semenanjung, bagi memastikan golongan terbabit turut menikmati subsidi petrol bersasar RON95 di bawah Skim BUDI95.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta isu berkaitan termasuk pemandu e-hailing dan p-hailing diteliti serta diuruskan segera oleh Kementerian Kewangan (MOF).
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, majoriti kenderaan teksi digunakan sepenuhnya untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai dan bukan bagi kegunaan peribadi, sekali gus menyumbang kepada keberhasilan ekonomi negara.
“Oleh itu, kami berharap kerajaan menilai semula kadar subsidi agar lebih bersesuaian dengan beban kos ditanggung komuniti teksi. Kami mensasarkan harga jualan petrol dapat diturunkan kepada RM1.70 seliter,” katanya. – UTUSAN










