
PETALING JAYA: Lebih 90 peratus penduduk Gaza tidak mempunyai kediaman ekoran serangan bertalu-talu rejim Zionis sejak 7 Oktober 2023.
Bekas pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Amer Suleiman Ibrahim Abu Shariaa, 51, berkata, kepulangan mereka ke kediaman masing-masing selepas gencatan senjata yang dicapai baru-baru ini tiada makna kerana kini terpaksa tinggal di dalam khemah.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan dia kini mengalami kemurungan melampau apabila sudah tidak berupaya menanggung isteri dan enam anak selepas pasca perang tersebut.
“Rumah saya musnah sepenuhnya akibat serangan dan kini saya hidup sehelai sepinggang serta telah berbulan-bulan menetap di khemah bersama keluarga.
“Lihatlah wajah cengkung saya kerana tiada sumber makanan berkhasiat sejak peperangan yang melelahkan ini.
“Berat badan saya susut 30 kilogram akibat perang, kebimbangan melampau dan dibelenggu ketakutan sepanjang masa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Lebih menyedihkan kata Amer Suleiman, bekalan air juga tidak selamat kerana sudah tercemar sekali gus dia dan penduduk Gaza kini terdedah kepada wabak penyakit.
“Walaupun sudah pulang ke sini (Gaza), cuma makan dan minum belum pulih sepenuhnya dan mengharapkan bantuan segera dapat memasuki kawasan perkhemahan kami
“Sehingga saat ini tiada bekalan daging, ayam, telur, sayur-sayuran dan buah-buahan kerana mereka kini hanya bergantung kepada produk makanan di dalam tin,” katanya.
Beliau memberitahu Gaza kini terpecah kepada lima pemerintahan di bawah penguasaan pejuang Hamas di mana Deir Al Balah terletak di bahagian tengah Gaza, manakala, Rafah adalah kerajaan utama. – UTUSAN










