Kementerian Pertahanan cadang tubuh Majlis Maritim Negara - Utusan Malaysia

Kementerian Pertahanan cadang tubuh Majlis Maritim Negara

MOHAMED Khaled Nordin (tengah, duduk) bergambar bersama peserta yang hadir pada program Building Resilience Through Integration: The Future of Malaysia’s Maritime Security di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan mencadangkan penubuhan Majlis Maritim Negara sebagai langkah memperkukuh keselamatan perairan negara melalui pelaksanaan strategi maritim yang lebih sistematik dan berkesan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, majlis itu akan menjadi platform utama penyelarasan antara kementerian, agensi dan sektor berkaitan dalam mengurus tadbir urus maritim negara di bawah pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS).

Beliau berkata, pelaksanaan WOGOS penting bagi memastikan segala dasar, perkongsian risikan serta penggunaan sumber dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan teratur.

“Melalui WOGOS, kita dapat melaksanakan koordinasi yang lebih baik, penyelarasan dasar, perkongsian risikan serta penggunaan sumber yang cekap dan berkesan.

“WOGOS bukan satu idea abstrak. Ia adalah anjakan paradigma yang amat kita perlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Sidang Meja Bulat dengan topik ‘Membina Ketahanan Melalui Integrasi: Masa Depan Strategi Maritim Malaysia’ anjuran Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) dan Bait Al Amanah di Royale Chulan Kuala Lumpur, Rabu lalu.

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menunjukkan kertas polisi dalam program Building Resilience Through Integration: The Future of Malaysia’s Maritime Security di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Mohamed Khaled berkata, landskap maritim negara yang semakin kompleks menuntut satu anjakan baharu, khususnya dari segi tadbir urus dan pelaksanaan dasar.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan memandangkan ancaman keselamatan masa kini tidak lagi bersifat satu dimensi, sebaliknya turut merangkumi aspek digital dan ekonomi yang berpotensi menggugat kestabilan negara.

“Maka, Kementerian Pertahanan tidak boleh bersendirian. Kita memerlukan Kementerian Luar Negeri untuk mengukuhkan tuntutan maritim; Kementerian Dalam Negeri untuk menjamin keselamatan perairan; Kementerian Pengangkutan untuk melindungi laluan perkapalan; dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan bakat-bakat maritim bertaraf dunia.

“Selain itu, komuniti pesisir pantai mesti menjadi penjaga kawasan masing-masing, sektor swasta sebagai pemacu inovasi teknologi dan logistik, manakala universiti menjadi wadah pembentukan idea baharu berkaitan maritim,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia tidak boleh terus berpeluk tubuh kerana gelombang ancaman maritim semakin ketara dan berpotensi menjejaskan keselamatan perairan negara.

“Laut yang tenang tidak melahirkan nakhoda yang hebat. Oleh itu, kita mesti berhadapan dengan ribut perubahan ini.

“Malaysia mesti membuktikan kita mampu bertindak dengan ketegasan dan kesatuan, bukan sekadar bercakap kosong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN