KUALA LUMPUR: Kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini mencerminkan komitmen blok itu terhadap semangat keterangkuman dan perpaduan serantau.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, penyertaan Timor-Leste turut menggambarkan peranan ASEAN dalam menerima sebuah negara yang berkongsi aspirasi serta nilai keamanan dan kerjasama.
Katanya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut menandakan dua detik penting dalam sejarah rantau ini yang memperlihatkan kekuatan dan kesepaduan ASEAN dalam mengukuhkan hubungan antara negara anggota.
“Pertama, kita akan menyaksikan kemasukan Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN yang ke-11, satu detik penting yang melambangkan semangat keterangkuman dengan memperluas keluarga ASEAN bagi menerima sebuah negara yang berkongsi aspirasi serta nilai-nilai murni keamanan dan kerjasama.
“Kedua, sambutan ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang menandakan dua dekad dialog strategik dan kerjasama yang telah mengukuhkan kestabilan serantau serta peranan penting ASEAN dalam membentuk sebuah tatanan serantau yang aman dan makmur,” katanya pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Mengulas kedua-dua peristiwa itu, Amran berkata, ia menunjukkan bahawa kekuatan ASEAN terletak pada keupayaannya untuk terus berkembang tanpa mengabaikan prinsip asas penubuhannya seperti perpaduan, konsensus dan saling menghormati.
Katanya, semangat kerjasama dan persefahaman yang menjadi tunjang ASEAN akan membolehkan setiap cadangan yang dikemukakan dapat diteruskan oleh para pemimpin dengan penuh keyakinan dan keazaman.
“Ketika kita bersiap sedia untuk menyerahkan tanggungjawab kepengerusian, kita melakukannya dengan rasa bangga terhadap pencapaian bersama serta keyakinan yang tinggi terhadap asas kukuh yang telah kita bina bersama.
“Marilah kita terus membawa semangat kerjasama ini menuju Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan seterusnya,” katanya.-UTUSAN










