SERDANG: Anak sulung Ketua Delegasi Malaysia dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleen to Gaza (TMTG) mengakui dia sudah menjangka kemungkinan kapal yang dinaiki ibu bapanya akan ditahan tentera Israel, namun tidak menyangka ia berlaku seawal pagi tadi.
Shamil Mohd. Alauddin, 40, berkata beliau mula mengesyaki sesuatu tidak kena apabila kapal yang membawa kedua ibu bapanya dikesan tidak lagi bergerak menerusi aplikasi penjejak sejak semalam.
Menurutnya, rasa bimbang semakin kuat selepas tidak menerima sebarang kemas kini daripada pasukan misi, selain laporan awal di media sosial yang memaklumkan kapal tersebut telah dinaiki tentera Zionis.
“Saya tengok di Facebook dan kami juga guna alat penjejak (tracker). Bila tengok kapal itu dah tak bergerak lama, saya tahu ada sesuatu berlaku.
“Bila lihat di Facebook dan Instagram pun sudah keluar laporan awal kata kapal telah dinaiki tentera Zionis, masa tu kami boleh agak memang dah dipintas.
“Kami sebenarnya dah jangka perkara ini boleh berlaku, tapi tak sangka seawal ini. Ingatkan mungkin esok atau lusa, rupanya jadi sehari lebih awal,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCare), di sini hari ini.
Shamil berkata, komunikasi terakhir bersama ibu bapanya, Dr. Mohd. Alauddin dan Dr. Fauziah Mohd. Hasan, berlaku semalam menerusi panggilan video sekitar pukul 6 petang waktu Malaysia (12 tengah hari waktu tempatan).
“Masa tu mereka sempat berhubung dan ibu ada maklum nampak dron, tapi tak pasti milik siapa.
“Mereka juga beritahu masih berada di luar kawasan yang biasa berlakunya pintasan, jadi kami tak sangka ia akan berlaku secepat ini,” katanya.
Menurutnya, selepas pukul 10 pagi tadi, tiada lagi mesej atau panggilan diterima daripada mana-mana peserta misi termasuk ibunya.
Beliau turut mengakui rasa cemas tetap wujud walaupun kedua ibu bapanya berpengalaman menyertai misi ke Gaza dan pernah ditahan sebelum ini.
“Nak kata dah kebal tu taklah, sebab kita tak tahu macam mana situasi kali ini. Berdasarkan apa yang kita lihat, layanan terhadap misi kebelakangan ini makin agresif.
“Ibu saya pernah masuk penjara sebelum ini, jadi ada kebimbangan kalau kali ini layanan akan lebih kasar.
“Kami hanya mampu berdoa dan berharap kerajaan dapat melakukan apa yang perlu untuk mempercepatkan pembebasan mereka,” katanya.
Setakat ini, komunikasi terakhir dengan kapal misi dilaporkan terputus sekitar 10.03 pagi waktu Malaysia, dipercayai selepas ia dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, lazimnya, kapal membawa bantuan kemanusiaan ditahan pada jarak 100 batu nautika dari pantai Gaza.
“Mengejutkan apabila kesemua sembilan kapal FFC – TMTG ditahan pada jarak 120 batu nautika,” katanya. – UTUSAN









