Kekuatan terbesar 10,170 anggota kawal keselamatan    - Utusan Malaysia

Kekuatan terbesar 10,170 anggota kawal keselamatan   

KAPSYEN MOHD. Khalid Ismail meninjau bilik operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan kekuatan terbesar bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di ibu negara bermula hujung minggu ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, raptai persiapan yang bermula kelmarin berjalan lancar dan teratur sekali gus memperlihatkan kesiapsiagaan tinggi semua agensi keselamatan serta pengurusan yang terlibat.

Katanya, pelaksanaan raptai yang dijalankan secara berkala sehingga 25 Oktober ini dijangka berterusan sehingga pukul 8 malam bagi memastikan setiap aspek keselamatan, kawalan trafik dan logistik berada pada tahap optimum sebelum persidangan sebenar bermula.

“Seramai 10,170 pegawai dan anggota digerakkan daripada pelbagai jabatan serta unit taktikal bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sepanjang tempoh persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Pergerakan tetamu-tetamu dari hotel ke KLCC berjalan lancar. Pengumuman awal oleh pihak trafik kepada umum turut membantu melancarkan perjalanan keseluruhan delegasi,”  katanya selepas melakukan tinjauan persiapan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Mohd. Khalid berkata, antara jabatan dan unit terlibat termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Cawangan Khas, Unit Tindakhas (UTK), 69 Komando, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU).

Jelasnya, penugasan menyeluruh meliputi lokasi strategik seperti KLCC, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta hotel penginapan rasmi para delegasi antarabangsa.

“Untuk tahun ini, kita melihat penyertaan lebih 20 negara dengan kehadiran sekitar 23 ketua negara dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, selain kawalan keselamatan fizikal, pasukan khas turut ditugaskan untuk pemantauan keselamatan siber, kawalan udara serta rondaan berterusan di kawasan berisiko tinggi.

Mohd. Khalid berkata, PDRM amat menghargai kerjasama erat daripada pihak kementerian serta pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen (JIM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Penerbangan Awam (CAAM), serta pelbagai agensi lain yang memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan operasi  keselamatan berjalan dengan sempurna.

“Pendekatan bersepadu ini adalah manifestasi konsep kerjasama erat antara agensi yang menekankan perpaduan dan  kerjasama strategik antara pelbagai pihak demi kejayaan negara,” katanya.

MA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN