KUALA LUMPUR: Penyampai radio dan usahawan, Johan, menegaskan bahawa segala usaha dan titik peluhnya selama ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada isteri tercinta, Ozlynn Waty dan bukannya untuk diwariskan kepada anak-anak.
Tegas Johan atau Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, sebagai bapa dia sudah memberikan bekalan pendidikan yang cukup untuk enam orang anaknya mencari kekayaan sendiri.
“Saya bekerja keras baik sebagai penyampai radio dan usahawan sebab maklumlah anak kami ramai. Kami tanggung segala perbelanjaan mereka. Mereka nak apa, kami berikan. Tiada subsidi.
“Tetapi saya tidak harapkan balasan daripada mereka. Saya hanya pastikan mereka dapat pendidikan yang terbaik, itu tanggungjawab saya sebagai bapa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran GGR X Johan, di Melawati Square, baru-baru ini.
Tambah Johan, beliau tidak pernah bercita-cita untuk mewariskan legasi perniagaan kepada anak-anak kerana percaya mereka perlu mencari arah dan kejayaan berdasarkan minat serta kemampuan sendiri.
“Apa yang saya cari hari ini bukan harta untuk anak cucu saya, sebaliknya untuk isteri. Sebab saya sudah bekalkan kepada anak-anak dengan tiga perkara penting iaitu pendidikan, ilmu dan pelajaran.
“Dengan tiga perkara ini, saya mahu mereka keluar dan cari kekayaan sendiri. Kalau nak kekayaan saya juga, lebih baik jadi pembantu peribadi. Saya berikan rumah, kereta semua,” katanya.
Jelasnya lagi, anak-anak tidak akan memperoleh hartanya selama dia masih hidup. Johan percaya, semua anaknya perlu berdikari mendapatkan sesuatu atas usaha mereka sendiri.
“Selagi saya hidup, kekayaan saya bukan untuk mereka. Saya mahu mereka belajar berdikari dan faham nilai usaha.
“Lagipun, anak tidak semestinya minat apa yang kita minat. Kita kena terima dan galakkan mereka teroka minat mereka sendiri,” jelasnya.
Tambahnya yang juga juara Maharaja Lawak Mega 2012, beliau tidak teragak-agak untuk menjual pegangan saham restoran miliknya, Itik ke Ayam?, sekiranya perniagaan tersebut disenaraikan sebagai syarikat awam kelak.
“Sebab itu apabila restoran Itik ke Ayam? ini sudah masuk Initial Public Offering (syarikat awam) saya akan jual hak pemegang saham.
“Sebab itu, bila balik rumah lepas penat kerja, saya cari isteri saya dahulu. Anak-anak nanti membesar, mereka akan keluar rumah bila berkahwin. Akhirnya saya akan hidup dengan isteri saya sahaja. Saya mahu biasakan perkara itu dari sekarang,” katanya.
Johan dan Ozlynn berkahwin pada tahun 2009 dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ahmad Ariq Hanania, Ahmad Sodiq Hanania, Ahmad Haziq Hanania, Nur Latifah Chantiq Hanania, Nur Latifah Moleiq Hanania, dan Nur Latifah Cherdiq Hanania.
Dalam perkembangan lain, Johan dilantik sebagai rakan kongsi strategik kepada syarikat permotoran tempatan, GGR yang aktif dalam pembangunan motosikal elektrik (EV) dan ekosistem mobiliti hijau.
Syarikat itu bukan sahaja mengeluarkan motosikal elektrik, malah membina ekosistem selepas jualan termasuk bengkel, rakan niaga dan kemudahan pemasangan kenderaan.
Menurut Johan, sebuah galeri jualan dan pusat servis GGR dibuka bersebelahan restoran miliknya, Itik ke Ayam?, dan beliau sendiri akan turut serta dalam menguruskan khidmat pelanggan.
“Saya akan layan pelanggan sendiri untuk servis. Paling penting, saya mahu majukan perniagaan bumiputera, khususnya anak muda.
“Saya percaya rakyat Malaysia akan mula beralih ke motor EV kerana ia lebih mesra alam, berbaloi dari segi harga, servis dan kualiti,” katanya. -UTUSAN