ALOR SETAR: Polis mendedahkan kes rogol pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Baling oleh empat suspek termasuk tiga pelajar sekolah sama turut berlaku di kawasan semak dalam kebun kelapa sawit.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kebun tersebut berada berhampiran sekolah terbabit, manakala salah seorang suspek yang berusia 17 tahun juga dipercayai teman lelaki mangsa.
Katanya, tiga lagi suspek terdiri daripada dua pelajar sekolah sama serta seorang bekas pelajar di situ yang dibuang sekolah pada Ogos lalu kerana masalah disiplin termasuk ponteng sekolah.
“Hasil siasatan mendapati kes ini bukanlah rogol secara paksa, tetapi lebih kepada masalah sosial. Walaupun berlaku atas dasar suka sama suka, perlu diingatkan bahawa mangsa masih bawah umur, tidak matang untuk memahami akibat perbuatannya.
“Perbuatan itu terbongkar selepas rakaman video kelakuan tidak bermoral oleh mangsa tersebar sebelum guru disiplin menghubungi ibunya yang kemudian membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Adzli berkata, siasatan turut mendapati mangsa dan suspek-suspek terlibat dalam hubungan tidak bermoral itu beberapa kali.
“Sebagai contoh, bersama salah seorang suspek, mangsa melakukan hubungan seks sebanyak empat kali di dalam kelas pada waktu petang ketika tiada pelajar lain.
“Selain itu, mereka juga berhubungan melalui WhatsApp dan berjumpa di ladang kelapa sawit berhampiran sekolah, serta di rumah mangsa atau suspek pada waktu malam,” katanya.
Justeru Adzli menggesa semua pihak termasuk ibu bapa, polis dan institusi pendidikan agar bersama-sama bagi memastikan anak-anak tidak terjebak dengan perkara tidak baik.
“Kita kena pantau penggunaan telefon pintar anak masing-masing, ambil tahu dengan siapa mereka berhubung dan bahan apa yang dilayari mereka,” tambahnya.
Terdahulu, tiga pelajar sebuah sekolah termasuk seorang bekas pelajar ditahan polis Ahad lalu setelah disyaki terbabit dalam kes rogol dan menyebarkan bahan lucah di media sosial.
Kesemua mereka berumur 15 hingga 17 tahun kini ditahan reman bagi membantu siasatan selepas ibu mangsa yang berusia 53 tahun membuat laporan polis kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, laporan dibuat pengadu selepas dia dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video membabitkan anaknya yang berbogel. – UTUSAN










