KUALA LUMPUR: Penyertaan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN dapat memperkukuh ekonomi negara itu melalui potensi perdagangan dan pelaburan serta memanfaatkan pasaran besar serantau.
Menteri Pelancongan, Perdagangan dan Industri Timor-Leste, Filipus Nona Pereira berkata, langkah itu menjadi titik tolak penting dalam mempercepatkan integrasi ekonomi dan pembangunan sosial rakyat Timor-Leste.
“Kita tahu bahawa ASEAN mempunyai pasaran lebih 600 juta orang. Dengan penyertaan ini, Timor-Leste memperoleh lebih banyak peluang untuk mengembangkan perdagangan dan pelaburan serta menjalin kerjasama ekonomi yang lebih strategik.
“Ia merupakan impian yang telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Timor-Leste kerana ia menandakan permulaan baharu dalam hubungan perdagangan, pelaburan dan diplomasi serantau.
“Proses penyertaan ini berjalan dengan sangat baik. Dalam dua hari lagi (Ahad), Timor-Leste akan secara rasmi menjadi ahli penuh ASEAN,” kepada pemberita selepas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Dengan penyertaan rasmi itu, Timor-Leste menjadi negara ke-11 dalam ASEAN selepas lebih sedekad berusaha memenuhi pelbagai komitmen dan kriteria yang ditetapkan oleh blok serantau berkenaan.
Filipus berkata, peranan aktif Malaysia sangat membantu proses kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN sejak beberapa tahun lalu.
“Malaysia khususnya Perdana Menteri dan seluruh komponen ASEAN telah banyak membantu kami. Sebagai sebuah negara kecil, kami akan mematuhi segala ketetapan ASEAN dan berusaha menyumbang kepada demokrasi serta keamanan di rantau ini,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan tersebut turut membuka peluang kepada Timor-Leste untuk memperkukuh aspek pembelajaran dan pembangunan kapasiti ekonomi melalui perkongsian pengalaman dengan negara-negara jiran.
“Kami sedang belajar dan akan terus belajar untuk menjadi anggota yang memberi nilai tambah kepada rantau ini,” katanya. – UTUSAN










