Kawalan dron ciptaan Fayyadhatul dapat permintaan industri - Utusan Malaysia

Kawalan dron ciptaan Fayyadhatul dapat permintaan industri

FAYYADHATUL Alya Ahmad Misnu menunjukkan dron yang boleh dikawal dengan e-modul ciptaannya pada Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menghasilkan e-modul manual lengkap mengawal dron secara efektif menerusi telefon pintar, alat kawalan jauh dan pergerakan tangan.

Modul yang akan dinaskhahkan dalam bentuk e-book atau buku fizikal itu menarik minat pelbagai industri seperti sektor pembinaan dan infrastruktur, pertanian pintar dan digital, syarikat telekomunikasi, utiliti serta siber sekuriti.

Modul tersebut membolehkan dron dapat dikawal sama ada menerusi telefon pintar, alat kawalan pintar atau gerakan tangan dan mata yang sesuai dengan industri.

Fayyadhatul Alya Ahmad Misnu, 25, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Reka Bentuk dan Teknologi) dengan Kepujian, tidak mengambil masa yang lama untuk mencipta e-modul yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Menurutnya, modul yang dihasilkan itu membolehkan sesiapa sahaja untuk belajar lebih lanjut tentang litar ringkas dan kompleks, pengekodan serta pemprograman dalam persekitaran dalam masa yang singkat.

“Modul yang dihasilkan ini menyokong teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), analitik data serta internet kebendaan (IoT).

“Saya turut menyertai program-program anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan diberitahu modul ini berperanan penting dalam pembangunan projek berimpak tinggi di negeri ini seperti Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP),” katanya.

Perkembangan itu menepati flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship keempat iaitu Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

Selain itu, ia selaras dengan flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dan flagship ke-11 iaitu Ekonomi Digital Negeri Perak hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.

Fayyadhatul Alya menerima bantuan pendidikan daripada Yayasan Perak menerusi bantuan sekali bayar atau one-off sebanyak RM1,000 seorang di bawah Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP).

Menurutnya, e-modul interaktif itu lengkap dengan kod aturcara menggunakan pemprogram Scratch, elemen multimedia dan grafik, demonstrasi dalam bentuk video serta kod QR.

“Ia dicipta untuk meningkatkan minat dan galakan kepada pelajar dalam menceburi bidang teknologi, robotik, kemahiran dan teknikal seperti Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan TVET.

“Ia membantu memperkenalkan konsep pengaturcaraan dan teknologi dron dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di sekolah rendah dan menengah serta kemahiran TVET,” katanya.

Fayyadhatul Alya yang berasal dari Hutan Melintang berkata, kajian lapangan melibatkan pensyarah dan guru berkaitan pendidikan mendapati, modul itu memudahkan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah, selain sesuai untuk kegunaan institusi pengajian tinggi dan industri.

“Modul pembelajaran itu turut meliputi peraturan, keselamatan, komponen dan kawalan, teknologi pelbagai dron serta aplikasi dalam industri tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN