PETALING JAYA: Pengambilan 20,000 guru baharu bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar di sekolah-sekolah seluruh negara perlu dilaksana secara berhemah dan tapisan ketat, khususnya melibatkan aspek minat serta kesesuaian calon.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, langkah itu penting bagi mengelak pelbagai masalah timbul di sekolah, sekiranya pengambilan guru dibuat tanpa tapisan teliti.
Beliau berkata, minat untuk mengajar serta kesabaran dalam mendidik merupakan kriteria paling asas yang perlu ada dalam diri seorang guru.
Katanya, individu yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan masih boleh dipertimbangkan sekiranya mereka benar-benar berminat dalam bidang tersebut.
“Yang penting mereka mesti ada minat. Minat untuk mengajar dan sabar dalam menghadapi anak murid. Yang kita tidak mahu ialah mereka yang sebenarnya tidak berminat, tetapi apabila sampai di sekolah, akhirnya menimbulkan masalah.
“Pengambilan secara besar-besaran tanpa mengambil kira minat dan kesesuaian calon akhirnya akan menimbulkan masalah daripada segi polisi dan pelaksanaan.
“Kita tidak mahu guru yang hanya datang untuk ‘makan gaji’, tetapi tidak mempunyai minat dan komitmen untuk melaksanakan tugas-tugas berkaitan pendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pengambilan 20,000 guru baharu dan akan dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG9 bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar di sekolah seluruh negara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pengambilan guru baharu itu adalah sebahagian persiapan awal KPM bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Mohd. Azam berkata, bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan.
Fouzi berkata, sektor pendidikan bukan bidang yang sesuai untuk semua orang kerana ia menuntut kemahiran komunikasi, keyakinan diri serta keupayaan berinteraksi dengan murid-murid.
“Ada individu yang terlalu pendiam, pemalu atau sukar berkomunikasi. Apabila perlu bercakap di hadapan murid, mereka tidak mampu melaksanakannya. Dalam keadaan ini, proses pengajaran akan terjejas,” katanya. – UTUSAN










