KUALA LUMPUR: Kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang ditahan tentera Zionis pagi tadi kini sedang ditunda menuju ke Pelabuhan Ashdod, Israel dan dijangka tiba pada awal pagi esok waktu Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, proses penundaan kapal berkenaan dijangka mengambil masa lebih 15 jam selepas dipintas kira-kira pukul 5.50 pagi waktu Mesir atau 10.50 pagi waktu Malaysia di perairan antarabangsa, pada jarak sekitar 120 batu nautika dari pesisir Gaza.
“Lazimnya pintasan berlaku sekitar 100 batu nautika, namun kali ini mereka ditahan lebih awal. Selepas dipintas, kesemua kapal diserahkan sepenuhnya kepada pihak Israel untuk ditunda ke Pelabuhan Ashdod,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MyCARE di Seri Kembangan di sini.
Tambahnya, kapal pertama yang ditahan ialah Sunbird TMTG sebelum lapan kapal lain turut dirampas, dengan Umm Saad menjadi kapal terakhir dipintas.
Beliau berkata, komunikasi terakhir dengan kapal delegasi Malaysia berlaku sekitar pukul 10.30 malam waktu Malaysia semalam apabila pasukan misi memaklumkan terdapat dron Israel menghampiri kawasan mereka sebelum hubungan terputus sepenuhnya pada pukul 10.03 pagi hari ini.
“Berdasarkan rakaman yang tersebar, pintasan terhadap kapal Conscience dipercayai dilakukan menggunakan helikopter apabila kelihatan rambut peserta melayang ditiup angin kuat daripada kipas helikopter tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, MyCare memaklumkan kesemua sembilan kapal membawa bantuan kemanusiaan menuju ke wilayah bergolak, Gaza itu dipintas tentera Zionis.
Sementara itu, Pengerusi MyCare, Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang disifatkan melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabuli hak asasi manusia sejagat.
“Tindakan merampas kapal misi kemanusiaan itu adalah perbuatan tidak berasas serta mencabar maruah kemanusiaan sejagat. Kami telah memaklumkan perkara ini kepada Kementerian Luar Negeri, Pejabat Perdana Menteri dan keluarga delegasi yang terlibat,” katanya.
Menurut beliau, MyCare telah menyediakan ruang khas di ibu pejabatnya bagi menerima ahli keluarga delegasi Malaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung insiden tersebut. – UTUSAN










