Kami masih wujud - Othman Hafsham harap penggiat seni veteran tidak dilupakan - Utusan Malaysia

Kami masih wujud – Othman Hafsham harap penggiat seni veteran tidak dilupakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah, Othman Hafsham, 85, berharap agar masyarakat dan generasi hari ini tidak melupakan penggiat seni veteran yang satu masa dahulu pernah memeriahkan dunia drama dan perfileman tanah air.

Kata Othman, orang lama industri itu wajar dikenang dan diraikan meskipun ramai dalam kalangan mereka yang telah bersara.

“Penggiat veteran tidaklah dipinggirkan, tapi dilupakan. Kami masih wujud, mampu bergerak, melangkah dan bercakap.

“Saya tertarik hati dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang masih ingat kepada orang lama seperti kami. Niat mereka baik,” katanya.

Othman berkata demikian selepas majlis penghargaan kepada tokoh-tokoh perfileman veteran negara sempena Festival Filem Malaysia ke-34, semalam. 

Turut diundang adalah pelakon, Ruminah Sidek.

Pengarah filem Mekanik itu dalam masa yang sama memberitahu beliau masih berkeinginan mengarah filem dan drama namun hasrat itu terpaksa beliau lupakan kerana tahap kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Keinginan itu masih menebal, cuma keupayaan tidak lagi membenarkan. Hendak bergerak susah, apatah lagi berfikir.

“Saya pun sudah tidak lagi ditawarkan mengarah drama atau filem. Apatah lagi sekarang ini muncul ramai pengarah baharu, nama saya sudah corot agaknya,” selorohnya.

Othman yang juga pengarah sitkom popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu juga berkongsi mengenai tahap pendengarannya yang merosot, membuatkan beliau terpaksa mendengar dengan bantuan alat pendengaran yang harganya mencecah ribuan ringgit.

“Kalau ikutkan saya tak mampu beli alat bantuan pendengaran ini. Tapi saya terima bantuan kerajaan untuk memilikinya.

“Selain pendengaran, tahap penglihatan saya juga sudah semakin berkurangan.

“Cuma percakapan saya masih baik kerana dahulu, sewaktu mengikuti pementasan teater, saya dilatih bercakap kuat dan jelas” kongsinya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN