Kadar Pensijilan Minyak Sawit Mampan Sabah cecah lebih 96 peratus - Utusan Malaysia

Kadar Pensijilan Minyak Sawit Mampan Sabah cecah lebih 96 peratus

Pekebun kecil sawit daerah Keningau menerima cek bantuan berjumlah RM534,222 di bawah Skim Pembiayaan TSPKS 2.0 semasa Program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil Sawit di Keningau, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam kalangan pekebun kecil di Sabah telah mencapai lebih 96.09 peratus, melibatkan 30,768 pekebun kecil dengan keluasan 191,517.96 hektar.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, jumlah itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi pekebun kecil Sabah dalam pematuhan piawaian MSPO selaras dengan misi kementerian untuk membangunkan industri sawit yang mampan.

“Dengan pelaksanaan MSPO bukan sekadar berupaya meningkatkan penerimaan pasaran global, tetapi juga memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil seperti pengurusan Amalan Pertanian Baik (GAP), penjagaan alam sekitar serta peningkatan kualiti hasil yang akhirnya membawa kepada peningkatan pendapatan,” katanya pada Program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil Sawit di Keningau, hari ini.

Katanya, bilangan pekebun kecil bersijil bagi daerah Keningau adalah sebanyak 2,104 orang dengan keluasan 10,086.33 hektar.

Beliau berkata, sehingga September lalu, sebanyak 796 permohonan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) telah diluluskan di Sabah melibatkan keluasan 3,420 hektar dengan jumlah pembiayaan melebihi RM10 juta.

“Bagi daerah Keningau sahaja, sebanyak 94 permohonan telah diluluskan dengan jumlah keluasan tanaman sekitar 398 hektar,” katanya.

Menurutnya, Sabah merupakan penerima tertinggi bagi Skim TSPKS 2.0 dengan nilai peruntukan sebanyak RM11.5 juta setakat Julai lalu.

Dalam Belanjawan 2026 lalu, kerajaan memperuntukan sebanyak RM120 juta bagi memberi sokongan terhadap pekebun kecil sektor agrikomoditi termasuk untuk pelaksanaan penanaman semula pokok sawit tua di bawah skim galakan tanam semula.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM20 juta untuk meningkatkan penghasilan produk automasi dan mekanisasi di samping mengurangkan kebergantungan pekerja asing dan menggalakkan inovasi tempatan.

Bagi mengukuhkan reputasi industri sawit negara, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM63 juta bagi usaha-usaha galakan pensijilan minyak sawit mampan dalam kalangan pekebun kecil sawit persendirian di samping mempergiat inisiatif menangani kempen anti minyak sawit pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kepentingan MSPO bagi menggalakkan penerapan amalan pertanian baik (GAP) serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

“Pensijilan MSPO bukan sahaja menjamin kemampanan industri sawit negara, malah memberi manfaat berganda kepada pekebun kecil melalui akses pasaran yang lebih luas dan peningkatan kecekapan operasi,” katanya.

MSPO telah diwajibkan mulai Januari 2020 sebagai usaha kerajaan memastikan kelestarian sektor sawit negara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN