IPOH: Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 11 tahun, Ogos lalu.
Tertuduh berusia 47 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap mangsa di sebuah rumah di Bota Kanan dalam daerah Perak Tengah kira-kira pukul 8 pagi pada 31 Ogos 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Farhan Ahmad Fadzil memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dengan berpendapatan RM1,800 sebulan selain menyara isteri dan dua anak masing-masing berusia 13 dan 10 tahun.
Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa kini tinggal bersama ibu kandungnya dan tidak lagi menetap di rumah tertuduh.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan agar melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut melarang lelaki itu menghubungi, mengganggu atau mendekati mangsa serta saksi-saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 November depan untuk serahan laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam. – UTUSAN