KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang aktiviti yang melibatkan arak dan perjudian adalah tidak dibenarkan di kawasan sekolah termasuk dewan dan selepas waktu pembelajaran.
Anwar berkata, arak dan perjudian bertentangan dengan konsep dan falsafah pendidikan negara, di mana dewan sekolah tidak seharusnya digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan.
“Suasana sekolah, walaupun selepas waktu pembelajaran terutama dewan sekolah, tidak harus digunakan untuk kegiatan yang menyalahi peraturan sekolah. Walaupun disewa oleh badan bebas, jika ada arak dan perjudian, ini bukan mendidik anak-anak.
“Menteri Pendidikan sudah membawa perkara ini kepada saya dan menyatakan bahawa ia perlu diperketatkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung penganjuran pesta arak di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak pada 27 September lalu.
Perdana Menteri berkata, larangan itu bukan bertujuan untuk mengekang hak orang bukan Islam tetapi demi menegakkan disiplin dan nilai pendidikan di sekolah.
“Sekolah adalah tempat didikan, ilmu, moral dan nilai. Kita minta rakan-rakan bukan Islam memahami perkara ini.
“Ini termasuk sekolah-sekolah bukan Islam. Anak-anak bukan Islam juga tidak diajar minum arak atau berjudi dari kecil, jadi budaya ini mesti diterapkan secara menyeluruh. Aktiviti sebegini boleh dilakukan di tempat lain, bukan di dewan sekolah,” katanya. – UTUSAN










