PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan ‘perang’ terhadap kenderaan perdagangan lebih muatan bermula hari ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, ia sebagai langkah tegas untuk mengekang sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha serta pemandu kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan dan melanggar undang-undang jalan raya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu ini akan dilaksanakan bermula hari ini hingga 31 Disember 2025, meliputi lima zon utama iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo.
“Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguatkuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon, dengan tempoh pelaksanaan tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri operasi.
“Fokus utama operasi ini tertumpu kepada kawasan ‘hotspot’ kenderaan perdagangan membawa lebihan muatan,” katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Setia Khas dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ di sini, hari ini.
Katanya, antara jenis muatan berisiko tinggi termasuk batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak, yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti kuari, pelabuhan dan sektor perindustrian berat.
Loke berkata, MOT dan JPJ ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan yang ditetapkan di bawah syarat lesen.
Menurutnya, pihaknya juga tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam hingga mengakibatkan kerosakan jalan raya atau kemalangan.
“Tidak ada lagi kompromi sebab saya tak boleh bersabar lagi memang banyak kemalangan melibatkan kenderaan-kenderaan berat yang kita rasa bahawa disebabkan dengan lebih muatan dan juga kelajuan yang lebih tinggi.
“Kita telah buat pengesahan peranti had kelajuan (SLD) dan sebagainya dan itu juga salah satu aspek yang kita telah lakukan.
“Tetapi satu aspek lain yang kita nak banteras habis-habisan ialah berat melebihi muatan yang sepatutnya. Jadi ini telah pun kita akan lancarkan operasi operasi besar-besaran mulai hari ini,” katanya. – UTUSAN









