KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Lembah Klang kembali menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan mencatat penurunan, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk selepas berdepan keadaan udara kurang sihat sejak minggu lalu.
Perkembangan itu menyaksikan keadaan jerebu di beberapa lokasi semakin reda dengan bacaan IPU kembali pada tahap sederhana.
Setakat pukul 8 pagi, hanya Batu Muda mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, meskipun hujan melanda hampir seluruh Lembah Klang sejak malam tadi.
Dalam pada itu, sebanyak 15 kawasan di seluruh negara masih merekodkan bacaan IPU tidak sihat, dengan kebanyakannya membabitkan lokasi di Sarawak.
Jerebu yang melanda negara sejak minggu lalu turut menyebabkan beberapa acara larian terpaksa dibatalkan bagi memastikan keselamatan peserta.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan terus mendapatkan maklumat terkini berhubung bacaan IPU dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya kualiti udara kembali merosot.-UTUSAN










