Johor terima 10 sekolah baharu - Utusan Malaysia

Johor terima 10 sekolah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menerima kelulusan bagi pembinaan 10 sekolah baharu di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, jumlah itu melibatkan tiga sekolah rendah, enam sekolah menengah dan sebuah kompleks sekolah (gabungan sekolah rendah dan menengah).

Katanya, JPNJ mengambil pendekatan teliti dan berasaskan data dimana setiap cadangan pembinaan sekolah baharu dikemukakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berdasarkan keperluan di kawasan tertentu.

“Perkara itu akan dilaksana mengikut Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia terbitan PLANMalaysia di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan tahun 2022.

“Kerajaan negeri sebenarnya memohon 18 sekolah baharu, bagaimanapun kelulusan yang diberikan adalah melibatkan 10 buah sekolah,” katanya di sini hari ini.

Aznan berkata, kelulusan pembinaan setiap sekolah baharu itu tertakluk kepada penelitian agensi pusat serta kemampuan kewangan semasa kerajaan Persekutuan antaranya jumlah dan kapasiti sekolah sedia ada di kawasan berhampiran serta kadar kepadatan murid

“Selain itu, faktor demografi seperti kepadatan penduduk, liputan kawasan tadahan dan perancangan pembangunan semasa serta masa depan di kawasan berkenaan turut diambil kira melalui perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN