Jangkitan influenza Pahang masih terkawal

Jangkitan influenza Pahang terkawal

WAN Rosdy Wan Ismail (empat dari kiri) ketika merasmikan sambutan Hari Sukan Negara di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis,Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Situasi jangkitan influenza di negeri ini masih terkawal namun orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kesihatan dan segera mendapatkan rawatan jika berasa tidak sihat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan menunjukkan peningkatan ketara kes jangkitan itu setakat ini.

“Saya dimaklumkan setakat ini masih terkawal. Setakat ini juga saya belum terima apa-apa maklumat mengenai penutupan sekolah,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri di Dataran Orang Kaya Haji, di sini, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kesihatan dan segera mendapatkan rawatan di klinik sekiranya berasa tidak sihat.

“Nasihat saya, jaga kesihatan, pakai pelitup muka. Kalau rasa kurang sihat, pergilah ke klinik segera. Jangan tunggu sampai teruk baru nak pergi sebab kita tahu keadaan tubuh sendiri. Jika rasa tidak sedap badan, segeralah dapatkan rawatan,”ujarnya.

Sementara itu, lebih 3,000 peserta hadir memeriahkan sambutan HSN peringkat negeri yang julung kali diadakan di daerah ini.

Wan Rosdy berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil tempatan.

“Program ini memberi manfaat kepada semua pihak, bukan sahaja untuk kesihatan individu tetapi juga kepada masyarakat setempat. Peniaga boleh mengambil peluang berniaga, manakala pengunjung dapat melihat sendiri pameran dan produk yang dipamerkan,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN