IPOH: “Setiap satu masalah, ada lagi 10 jalan penyelesaian.”
Itu kata-kata yang menjadi pegangan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Wan Muzhafar Wan Chik, 34, ketika memujuk dua individu yang berdepan tekanan sehingga bertindak di luar kawalan dalam kejadian berasingan baru-baru ini.
Menurut Wan Muzhafar, biarpun tidak mempunyai pengalaman khusus berdepan situasi sedemikian, rasa empati dan tanggungjawab sebagai anggota penyelamat mendorongnya mencari kata-kata yang mampu mengembalikan harapan mangsa.
Katanya, bagi kejadian pertama membabitkan seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ yang dikatakan hampir sembilan jam duduk di tepi lebuh raya, pasukannya terlebih dahulu melakukan penilaian awal terhadap keadaan mangsa sebaik tiba di lokasi.
“Pada mulanya kami bertanya nama dan tempat tinggalnya, namun dia tidak memberi sebarang jawapan. Kemudian saya bertanya sama ada dia sudah berkahwin dan mempunyai anak, lalu dia mengangguk.
“Berdasarkan itu, saya merasakan dia mungkin berdepan masalah peribadi. Saya menasihatinya supaya meneruskan kehidupan kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian dan mengingatkannya bahawa masih ada keluarga yang menunggu kepulangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Wan Muzhafar menerima Sijil Penghargaan Misi Intervensi Krisis atas sumbangannya membantu memujuk individu yang berdepan tekanan emosi dalam dua insiden berasingan.
Beliau berkata, pendekatan sama digunakan ketika memujuk seorang lagi individu yang cuba terjun dari sebuah jejambat di Bercham, dengan memberikan kata-kata semangat agar tidak mengambil tindakan di luar kawalan.
“Saya mengingatkannya bahawa dalam kehidupan ini sentiasa ada jalan penyelesaian. Saya juga mengajak dia mengingati Allah dan percaya setiap ujian mempunyai hikmahnya.
“Alhamdulillah, akhirnya dia berjaya ditenangkan dan tidak meneruskan hasratnya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap situasi yang dihadapi adalah berbeza dan memerlukan pendekatan yang sesuai, namun elemen paling penting ialah menunjukkan empati kepada mangsa.
“Saya sebenarnya tidak ada pengalaman yang banyak dalam situasi seperti ini. Apa yang saya lakukan berlaku secara spontan.
“Sebagai anggota bomba, tugas kami ialah menyelamat, jadi saya hanya cuba memberi semangat supaya mereka terus memilih untuk hidup dan tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman mengendalikan pelbagai operasi menyelamat turut membantunya memahami keadaan emosi mangsa dan memilih kata-kata yang bersesuaian. – UTUSAN










