‘Jangan risau, kami sudah bersedia’

‘Jangan risau, kami sudah bersedia’

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Jangan risaukan kami, apa-apa yang berlaku, kami sudah bersiap sedia.”

Itu antara pesanan terakhir diterima ahli keluarga Ketua Delegasi Malaysia dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), sebelum kapal mereka ditahan dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel, tengah malam tadi.

Anak kepada Prof. Dr. Alauddin Mohd. Ali, Shamil Mohd. Alauddin berkata, kali terakhir dia menghubungi ibu bapanya ialah pada petang Selasa, ketika mereka masih berada di atas kapal Conscience bersama delegasi lain.

Katanya, dalam perbualan itu, ibunya, Dr. Fauziah Mohd. Hassan dan ahli delegasi sempat menenangkan keluarga dengan mengingatkan bahawa misi tersebut bukan tentang mereka, sebaliknya perjuangan untuk menghentikan genosid dan membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Mereka pesan jangan risaukan mereka sangat, jaga keluarga di sini. Semua delegasi sudah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk ancaman ditahan, diculik atau lebih buruk.

“Kami sekeluarga reda. Ibu dan ayah memang sudah mendidik kami untuk reda dengan apa saja kemungkinan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan, sembilan rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel apabila kapal yang dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan FFC dan TMTG ke Gaza dipintas.

Kesemua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.

Secara keseluruhan, misi kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengetuai delegasi Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar mengesahkan semua kapal dalam misi berkenaan termasuk Conscience dan Umm Saad telah tiba di Pelabuhan Ashdod.

Menurut beliau, kapal pertama tiba sekitar jam 12 tengah malam waktu Malaysia, diikuti Umm Saad kira-kira sejam kemudian.

“Delegasi ketika ini tidak dapat dihubungi kerana telefon bimbit mereka telah dirampas oleh tentera Zionis.

“Bagaimanapun, peguam kami yang berada di Israel sudah memulakan usaha mendapatkan akses untuk bertemu mereka sebaik kapal berlabuh,” katanya.

Jelas Kamarul Zaman, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kekasaran terhadap kesemua delegasi namun perkara itu belum dapat disahkan kerana peguam masih belum berjumpa mereka.

Beliau turut memaklumkan ahli keluarga semua delegasi telah dimaklumkan mengenai situasi semasa dan berada dalam keadaan tenang.

Selain itu, katanya, Menteri Luar Turkiye juga telah dihubungi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membantu menguruskan proses pembebasan delegasi Malaysia sebagaimana yang dilakukan terhadap kumpulan Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN