Jalan Batu Balak–Mela RM157 juta siap

Jalan Batu Balak–Mela RM157 juta siap, penduduk tidak lagi terputus hubungan musim tengkujuh

AHMAD Zahid Hamidi ketika  berucap pada majlis penyerahan dan perasmian projek  Jalan dan Jambatan dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Kampung Mela, Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Projek pembinaan jalan dan jambatan baharu bernilai RM157.89 juta yang menghubungkan Kampung Labu, Jerantut dengan Kampung Batu Balak, Kampung Gemunchur dan Kampung Mela di Kuala Lipis, di sini siap sepenuhnya sekali gus menamatkan masalah penduduk terputus hubungan setiap kali musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek berimpak tinggi sepanjang 15 kilometer itu disiapkan pada 25 Ogos lalu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui kaedah reka dan bina dengan pelaksanaan oleh Menang Idaman Sdn. Bhd.

Katanya, projek itu melibatkan pembinaan tiga jambatan baharu dan jajaran jalan yang bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna malah memendekkan jarak perjalanan antara dua daerah tersebut.

“Dengan siapnya jalan ini, penduduk tidak lagi perlu bergantung kepada pengangkutan sungai. Perjalanan dari Kampung Mela ke Kampung Labu kini hanya 17 kilometer berbanding 60 kilometer sebelum ini dengan masa perjalanan berkurang daripada sejam kepada 15 minit,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan dan perasmian projek berkenaan yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.

Menurut Ahmad, jalan baharu itu turut menjadi laluan strategik pelancongan menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan dan  Tanah Tinggi Cameron Highlands melalui Kuala Lipis, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan dalam sektor pelancongan, pertanian serta perusahaan kecil sederhana (PKS).

Beliau berkata, projek itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan asas luar bandar terus dipertingkat agar tiada komuniti ketinggalan dalam pembangunan negara.

“Ini bukan sekadar projek fizikal tetapi lambang kesejahteraan rakyat. Setiap kilometer yang dibina memberi makna besar kepada kehidupan dan masa depan penduduk,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN