Jahanam Israel

Jahanam Israel

RAKYAT Malaysia menyer­tai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Israel menahan lebih 300 orang daripada 497 aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia yang menyer­tai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selepas kapal mereka dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza di Laut Mediterranean semalam.

Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), setakat pukul 4 petang semalam, 15 rakyat Malaysia disah ditahan, enam lagi tidak diketahui status mereka manakala dua lagi masih dilihat meneruskan pelayaran.

Namun dikhuatiri semua aktivis rakyat Malaysia itu sudah ditahan dan diculik oleh tentera zionis.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Halim berkata, dua rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi selepas sera­ngan dilancarkan ke atas kapal yang mereka naiki, ma­sing-masing Mikeno dan Inana.

“Mereka ialah Nurul Hida­yah Mohd Amin (Ardell Arya­na) dan Razali Awang,” kata­nya pada sidang akhbar semalam.

Kementerian Luar Israel semalam dipetik sebagai memaklumkan mereka akan menghantar aktivis pro-Pa­lestin menaiki kapal GSF yang dipintas tentera laut negara itu ke Eropah.

Secara keseluruhan, konvoi GSF terdiri daripada 45 kapal, termasuk kapal pemerhati dan pengiring, memulakan pelayaran ke Gaza bulan lalu.

Operasi pemintasan oleh rejim zionis bermula lewat malam tadi apabila tentera laut Israel menyerbu beberapa kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Antara yang ditahan termasuk tokoh terkenal se­perti aktivis alam sekitar, Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah, Emma Fourreau, yang berada di atas kapal Madleen dan Alma ketika diserbu.

Jurucakap GSF, Saif Abukeshek yang dipetik Al-Jazeera, berkata, lebih 201 individu dari 37 negara menaiki kapal berkenaan, termasuk 30 peserta dari Sepanyol, 22 dari Itali, 21 dari Turkiye dan 15 dari Malaysia, selain beberapa negara lain.

Namun, laporan berita Anadolu, Turkiye mengatakan lebih 300 orang aktivis ditahan.

Sani Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, la­poran kecemasan SOS diterima daripada delegasi Malaysia di atas kapal memaklumkan terdapat anggaran 10 buah kapal tentera rejim Israel menghampiri mereka.

“Intimidasi pertama dikesan berlaku pada kira-kira 1.20 pagi waktu Malaysia melibatkan dua kapal, Alma dan Sirius.

“Ketika kejadian, kapal ter­babit berada di perairan antarabangsa iaitu kira-kira 80 batu nautika dari Gaza,” katanya.

Sani Araby berkata, tentera rejim turut melakukan provokasi dengan menyembur meriam air ke arah kapal serta menyekat semua akses komunikasi termasuk sistem rakaman litar tertutup (CCTV) dan siaran radio.

Katanya, rejim Israel turut mengarahkan kapal menukar haluan dari destinasi asal ke Gaza, dan mengikut arahan radio menuju ke lokasi yang belum dapat disahkan.

“Saya ulangi bahawa sehingga saat kini delegasi Malaysia terutama yang ditahan semuanya dalam keadaan baik dan tidak ada yang cedera.

“Ketika kapal dipintas, peserta berkumpul di atas dek kapal dan kemudian angkat tangan untuk menyatakan bahawa kita adalah tidak bersenjata,” katanya.

Sebelum itu, katanya, kap­ten kapal akan memutuskan apabila tiba masanya untuk mereka (peserta) campakkan telefon pintar ­masing-ma­sing ke laut sebagai sebahagian langkah prosedur operasi stan­dard (SOP).

Sementara itu Sani Araby berkata, peguam dari Malaysia berada di Amman, Jordan bagi membantu menyelaras usaha pembebasan peserta yang ditahan tentera Israel dan pasukan peguam itu bernaung di bawah Legal GSF disertai 45 buah negara.

Sementara itu Al Jazeera melaporkan, semua peserta ditahan akan dibawa ke penjara Isreal untuk tempoh tertentu sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

SNCC bagaimanapun menafikan dakwaan kononnya delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza diseksa oleh tentera rejim Israel.

Katanya, setakat ini tiada sebarang laporan bunyi tembakan diterima daripada pasukan misi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN