IPD Muallim siap dengan kos sebanyak RM85 juta 

IPD Muallim siap dengan kos sebanyak RM85 juta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim yang siap dibina sepenuhnya pada 30 Jun lalu dengan kos RM85 juta bakal memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan di daerah berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek yang mula dibina pada 27 Disember 2017 itu menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan skor melebihi 70 peratus, sejajar dasar kerajaan untuk memperluas penggunaan teknologi moden dalam industri pembinaan.

“Kaedah ini bukan sahaja menjamin kecekapan dan kualiti lebih tinggi, tetapi juga mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing serta memupuk amalan pembinaan yang lebih lestari dan kos efektif.

“Dari segi kelestarian alam sekitar, reka bentuk projek ini menekankan pembangunan hijau menerusi penggunaan bahan binaan mesra alam, reka bentuk cekap tenaga serta penyediaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH),” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan IPD Muallim di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Alexander, pendekatan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap tanggungjawab sosial dan kelestarian ekosistem negara.

“Projek ini dibangunkan di kawasan seluas 11.03 hektar merangkumi bangunan pentadbiran utama, kuarters kediaman serta kemudahan infrastruktur sokongan.

“Reka bentuk bersepadu ini memberi kelebihan dari segi command and control, sekali gus memperkukuh tahap keselamatan dan kecekapan operasi di daerah Muallim,” katanya.

Beliau menambah, IPD baharu itu bakal menjadi nadi komuniti setempat, bukan sahaja dalam aspek keselamatan tetapi juga sebagai pemangkin aktiviti sosial dan ekonomi tempatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN