PETALING JAYA: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu sekiranya siasatan mendapati berlaku kesalahan lalu lintas dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan seperti menunggang secara melulu, berlumba haram atau melakukan aksi yang membahayakan pengguna jalan raya.
Beliau berkata, JSPT memandang serius budaya tunggangan yang mengutamakan kelajuan melampau, aksi berbahaya serta perlumbaan di jalan raya kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan nyawa.
“Aktiviti konvoi motosikal seharusnya menjadi medium untuk mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat permotoran yang positif dalam kalangan penunggang.
“Konvoi tidak sepatutnya dijadikan medan untuk menunjukkan keberanian atau kehebatan melalui tindakan yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya di sini hari ini.
Muhammed Hasbullah menegaskan, semua pengguna jalan raya perlu sentiasa mematuhi peraturan, mengamalkan sikap berhemah serta mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Terdahulu, empat terbunuh dan beberapa penunggang cedera dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi, ketika sekumpulan penunggang motosikal RXZ berkonvoi ke arah Kemaman. – UTUSAN










