IPD Kajang, CiJA erat ukhuwah melalui bola sepak persahabatan - Utusan Malaysia

IPD Kajang, CiJA erat ukhuwah melalui bola sepak persahabatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI : Perlawanan persahabatan bola sepak antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) bukan sekadar medan merebut kemenangan, sebaliknya menjadi platform mengeratkan hubungan antara penguat kuasa dan pengamal media dalam suasana santai dan mesra.

Pertemuan yang berlangsung di Arena Sukan Azman Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini malam tadi menyaksikan IPD Kajang menewaskan CiJA dengan jaringan 5-3 meskipun aksi berlangsung dalam keadaan hujan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perlawanan itu mencerminkan semangat kesukanan dan ukhuwah yang menjadi asas hubungan erat antara polis dan media.

Menurutnya, penganjuran aktiviti sebegini bukan sahaja dapat memperkukuh kerjasama strategik dalam penyampaian berita jenayah secara beretika, malah menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan warga IPD Kajang.

“Ini sekaligus mengeratkan silaturahim serta mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih mesra antara kami (polis) dan wartawan,” katanya.

Presiden CiJA, Safeek Affendy Razali berkata, aktiviti tersebut menghimpunkan kira-kira 20 petugas media daripada pelbagai agensi termasuk Utusan Malaysia dan Kosmo!.

“Kami amat menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan petugas media, selain menyahut seruan kerajaan sempena sambutan Hari Sukan Negara baru-baru ini.

“Perlawanan ini juga menjadi platform merapatkan ukhuwah antara CiJA dan pasukan polis,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN