Masalah terlelap atau microsleep ketika memandu bukan isu yang boleh dipandang ringan kerana ia menjadi antara penyumbang utama kemalangan jalan raya di negara ini.
Menyedari isu tersebut, sekumpulan pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai, Negeri Sembilan tampil dengan idea kreatif berasaskan teknologi inovasi yang mampu membantu mengurangkan risiko pemandu tertidur semasa memandu.
Inisiatif itu melibatkan pembangunan prototaip pintar Steering Wheel Micro Sleep Detector yang berfungsi memantau tahap kesedaran pemandu melalui pergerakan mata dan kepala.
Alat tersebut direka khusus oleh empat pelajar berusia 15 tahun iaitu Nur Adrina Amani Mohd Azahari, Nur Anis Nuwairah Nor Azlan, Muhammad Iskandar Zulkarnain Helmy, dan Asyraaf Zaqwan Abdul Mahat , bagi memberi amaran awal berbentuk bunyi atau getaran sekiranya pemandu menunjukkan tanda-tanda mengantuk atau hilang fokus.
Hasil usaha tersebut, kumpulan berkenaan berjaya merangkul tempat kedua dalam pertandingan Celik Initiative 2025 Awards Ceremony yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Inovasi berkenaan turut mendapat bimbingan daripada guru SMK Jelai, Norashikin Nordin dan Nur Raihan Mohd Isa.
Guru Reka Bentuk dan Teknologi SMK Jelai, Norashikin Nordin, berkata, penyelidikan bermula sejak awal tahun lalu dan dipertingkatkan sehingga siap ke peringkat prototaip menjelang pertandingan.
“Idea tercetus apabila para pelajar menyedari teknologi pengesan microsleep kebanyakannya hanya dipasang pada kereta mewah, sedangkan pemandu kenderaan biasa juga berdepan risiko sama,” katanya.
Prototaip yang dinamakan Brainiacs Steering Wheel Micro-Sleep Detector itu dibangunkan menggunakan komponen elektronik kos rendah dengan gabungan kamera, sensor serta sistem pengaturcaraan mudah, selain memanfaatkan teknologi machine learning bagi mengesan kedudukan pemandu sama ada dalam keadaan sedar, mengantuk atau memasuki fasa micro-sleep.
Juga, ia merupakan sistem plug and play yang mudah dipasang pada papan pemuka kereta, Ia menggunakan teknologi machine learning posing model yang berfungsi mengesan kedudukan serta tahap kesedaran pemandu melalui kamera yang dipasang, sekiranya sistem mengesan tanda-tanda microsleep atau keadaan mengantuk, ia akan memberi amaran segera bukan sahaja kepada pemandu, malah kepada orang di sekeliling kenderaan.
Norashikin berkata, inovasi tersebut dilihat berpotensi besar dalam membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang berpunca daripada masalah mengantuk ketika memandu, malah berbeza dengan sistem sedia ada yang hanya terdapat pada kereta mewah, inovasi ini direka untuk lebih mesra pengguna dan mampu dimiliki oleh semua golongan masyarakat.
“Idea asal inovasi berkenaan bermula dengan penggunaan sensor mata. Namun selepas menerima maklum balas daripada juri semasa peringkat separuh akhir, mereka melakukan penambahbaikan dengan menggantikan sistem tersebut kepada kamera.
“Pada mulanya memang agak rumit apabila menggunakan sensor mata kerana prosesnya terlalu kompleks, namun selepas mendengar saranan juri, kami mengambil keputusan untuk menggabungkan kamera dengan machine learning bagi menghasilkan sistem yang lebih praktikal serta mudah digunakan.
“Beliau mengakui kekangan masa menjadi cabaran terbesar sepanjang proses tersebut kerana pelajar hanya ada sekitar dua minggu sahaja untuk membuat penambahbaikan dari pusingan separuh akhir ke akhir. Namun mereka tetap sanggup menghabiskan masa pada sebelah petang di sekolah, malah meneruskan perbincangan di rumah bagi memastikan projek ini berjaya disiapkan.
“Semangat dan kerjasama pelajar menjadi faktor utama kejayaan mereka, juga mereka bukan sahaja datang ke sekolah walaupun pada hujung minggu, malah sanggup hadir walaupun dalam keadaan kurang sihat. Setiap ahli kumpulan memberi komitmen penuh tanpa ada yang terkecuali,” katanya.
Sementara itu, guru Sains Komputer sekolah berkenaan, Nur Raihan Mohd Isa yang turut membimbing kumpulan itu berkata, cabaran paling besar adalah bahagian pengaturcaraan kerana memerlukan integrasi antara machine learning dan perkakasan Arduino.
“Bahagian coding memang sukar kerana prosesnya perlu disambungkan melalui Web Serial API, namun dengan usaha pelajar menonton tutorial di YouTube serta perbincangan bersama guru, akhirnya semua cabaran dapat diatasi,” jelasnya.
Raihan berkata, inovasi itu mempunyai potensi besar untuk dikembangkan pada masa hadapan kerana sekarang semua orang bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) dan bagi beliau sistem ini bukan sahaja relevan, malah boleh digabungkan dengan syarikat pengeluar kereta untuk dijadikan teknologi keselamatan masa depan.
Selain itu, pihak sekolah turut memberi sokongan penuh khususnya dari aspek kemudahan dan peralatan.
“Bahagian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) sekolah banyak membantu, termasuk menyediakan pencetak 3D serta menanggung kos komponen elektronik yang digunakan dalam prototaip ini,” katanya.
Pencapaian ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk berani mencuba walaupun bermula dengan pengetahuan asas.
“Jangan takut untuk menyertai pertandingan sebegini. Walaupun bermula tanpa pengalaman, proses ini akan melatih kita belajar perkara baharu, membina keyakinan serta memberi peluang untuk mencipta sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.
Pencapaian pasukan SMK Jelai ini membuktikan bahawa kreativiti dan inovasi pelajar luar bandar juga mampu diketengahkan di peringkat nasional, juga menjadi lebih daripada sekadar pertandingan, projek ini menjadi bukti bahawa dengan semangat, bimbingan guru serta sokongan sekolah, pelajar mampu menghasilkan teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Dengan kejayaan meraih tempat kedua dalam Celik Initiative 2025, kumpulan ini berharap Brainiacs Steering Wheel Micro-Sleep Detector dapat terus diperkembangkan sehingga menjadi produk sebenar yang dapat dipasang dalam kenderaan pada masa hadapan.
Norashikin berharap agar inovasi ini bukan sahaja dikenang sebagai projek pertandingan, tetapi benar-benar membantu menyelamatkan nyawa di jalan raya. – UTUSAN