PETALING JAYA: Stadium Nasional dan Stadium Putra masing-masing akan dikenali sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berkata, perkara itu selaras kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi Stadium Nasional dan Stadium Putra untuk tempoh tiga tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting untuk memastikan kedua-dua venue utama negara kekal relevan, selesa dan berdaya saing sebagai lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf antarabangsa.
“Sebagai pengurus Stadium Nasional dan Stadium Putra, kami komited memastikan kemudahan ini sentiasa berada pada tahap terbaik untuk rakyat Malaysia.
“Kerjasama hak penamaan ini adalah inisiatif untuk memperkukuh kelestarian dan pembangunan jangka panjang venue-venue ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Iliyas berkata, Stadium Nasional dan Stadium Putra masing-masing akan menjenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena berkuat kuasa 6 Mac lalu.
“Hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan bagi usaha menaik taraf dan menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman lebih baik kepada pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md. Deris berkata, sepanjang lapan dekad, TM memainkan peranan penting dalam menghubungkan rakyat Malaysia merentasi generasi.
“Kami berbesar hati diberi kepercayaan memegang hak penamaan bagi venue nasional yang begitu ikonik ini dan amat menghargai kepercayaan yang diberikan.
“Stadium Nasional dan Stadium Putra sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan dan menyaksikan detik bersejarah,” katanya.
Tambah beliau, melalui kerjasama ini, TM berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat serta menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang. – UTUSAN










